The Voice Of Hind Rajab bukan ‘filem’ tapi misi kemanusiaan

KEKEJAMAN rejim Zionis yang diterjemahkan dalam sebuah filem tetapi dengan hanya melalui rakaman suara seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun, impaknya cukup luar biasa.

Emosi seperti direntap dan dada ditekan-tekan sehingga tidak cukup untuk bernafas sepanjang mendengar rintihan dan rayuan Hind Rajab dalam filem The Voice of Hind Rajab.

Teringat pada rintihan suara Hind Rajab atau Hanood meminta bantuan daripada sukarelawan Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Palestin sudah cukup untuk membuatkan air mata penulis mula bergenang.

Tidak perlu set penggambaran yang bombastik, filem arahan Kaouther Ben Hania yang menggunakan latar tempat di ibu pejabat PBSM Palestin berjaya menyentap emosi penonton.

Saya takut, hari semakin gelap, tolong datang segera…,” frasa itu yang berulang kali diucapkan Hanood dalam nada sayu yang merayu untuk diselamatkan segera.

Sebelum menonton filem ini, pasti pernah terdetik dalam kotak fikiran mengapa bantuan sukar untuk tiba di wilayah bergolak tersebut dan jawapannya, semuanya memerlukan kebenaran daripada pihak tentera penjajah.

Teringat pada salah satu dialog Omar lakonan Motaz Malhees dalam filem tersebut: “Bagaimana kita nak dapatkan kebenaran daripada orang yang menindas kita?”

Padu dan cukup untuk menggelegakkan api kemarahan dan rasa putus asa apabila bantuan iaitu ambulans yang sepatutnya mampu tiba ke lokasi Hind Rajab dalam tempoh lapan minit tetapi mengambil masa berjam-jam lamanya kerana perlu mendapatkan kebenaran tentera.

Meski sudah tahu pengakhiran cerita iaitu Hind Rajab akhirnya terkorban sebelum sempat diselamatkan, naskhah berdurasi dua jam tersebut mampu membuatkan penonton tidak berganjak dan pastinya rasa sebak membenam semua perasaan lain dalam diri.

Tidak keterlaluan sekiranya penulis meletakkan The Voice Of Hind Rajab sebagai salah satu dokumentari kemanusiaan terbaik yang pernah ditonton.

Tanpa menggunakan sebarang pelakon sebagai Hind Rajab, filem yang mengetengahkan rakaman suara sebenar kanak-kanak berkenaan dalam sebuah kereta yang ‘ditemani’ enam jenazah keluarganya dan menerima lebih 300 tembakan tentera Israel tetap cemerlang.

Solidariti

Menjadi antara 20 negara yang mendapat hak tayangan filem ini, peluang tersebut perlu direbut sekali gus sebagai satu bentuk solidariti terhadap bumi Palestin yang masih berjuang menuntut kebebasan.

Promosi The Voice of Hind Rajab turut digerakkan menerusi kempen Hind Rajab: Suara Terakhir, hasil kerjasama strategik Media Prima Bhd. bersama Sukarelawan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy Malaysia) dengan sokongan PBSM Palestin dan PBSM Malaysia sebagai satu inisiatif kemanusiaan yang menyeru empati dan kesedaran.

Aktivis kemanusiaan, ZRA menyokong penuh tayangan filem The Voice Of Hind Rajab di Malaysia. – Foto AFIQ RAZALI

Kempen tersebut diperkasakan menerusi advokasi kesedaran yang dipandu tiga suara utama kempen iaitu Zainal Rashid Ahmad (ZRA), Ahmad Fedtri Yahya dan Uyaina Arshad.

Menurut Zainal yang juga aktivis kemanusiaan, peluang untuk penduduk dunia menonton naskhah tersebut adalah sangat rendah kerana kekangan kuasa besar dalam menyebarkan kesedaran mengenai bumi Palestin.

“Tak mudah untuk filem ini diakses kerana bukan sahaja Zionis yang menzalimi Gaza adalah kekangan kuat kita, tetapi kekurangan organisasi di dunia yang mahu memberi tiket kepada filem yang menyuarakan tentang Palestin.

Jadi sebagai kuasa sivil, salah satu kekangan besar kita bukanlah tentang di Gaza, tapi mengucapkan keberanian untuk menyatakan sokongan pada Palestin itu adalah kekangan yang besar.

“Terima kasih kepada Media Prima dan Mercy Malaysia kerana membolehkan Malaysia menjadi satu daripada sekitar 20 negara dan kurang daripada lapan peratus sahaja penduduk dunia yang boleh mengakses filem ini di pawagam,” ujarnya.

Tambahnya, banyak negara yang masih takut untuk melaungkan sokongan terhadap bumi Palestin kerana bimbang diancam rejim Zionis.

“Kerana ketakutan kepada bayang-bayang Israel bukan sahaja berlaku di Palestin dan di bumi Arab, tapi juga sampai ke negara-negara lain yang amat takut untuk berdiri menyatakan sokongan kepada Palestin walaupun atas nama kemanusiaan.

Pergilah menonton. Ketika saya remaja, saya tak pasti jalan hidup saya menjadi orang baik atau orang jahat. Saya diselamatkan oleh filem-filem Oliver Stone, oleh muzik daripada The Beatles yang menentang peperangan,” katanya lagi.

Tolong tonton

Sementara Uyaina pula berkata, dirinya bungkam selepas menonton filem tersebut.

“Filem ini secara spesifik sangat menyentuh hati bukan sahaja dalam kapasiti sebagai seorang ibu tapi sebagai seorang manusia.

Kita letak tepi perbezaan agama, bangsa, negara. Cerita ini adalah cerita tentang kemanusiaan.

“Menerusi filem ini saya dapat rasakan nilai sebenar kemanusiaan dan rasa lebih faham tentang bagaimana keadaan di sana termasuk bagaimana sebuah misi penyelamatan dijalankan,” ujarnya.

Dia juga menyeru orang ramai agar tidak berhenti bersuara tentang kekejaman Israel terutama dalam media sosial.

“Ini bukan filem tetapi misi kemanusiaan yang dilakukan menerusi karya kreatif.

Rakyat Malaysia tolonglah tonton, The Voice Of Hind Rajab mampu mengubah perspektif kalian terhadap naskhah dokumentari dan melahirkan simpati berganda-ganda terhadap Palestin,” ujarnya.

The Voice Of Hind Rajab merupakan antara pesaing utama Anugerah Akademi (Oscar) Ke-98, sebagai wakil rasmi Tunisia dalam kategori Filem Cereka Antarabangsa Terbaik.

Naskhah yang memenangi Silver Lion Grand Jury Prize pada Festival Filem Venice tahun lalu itu mula ditayangkan pada 8 Januari lalu di pawagam terpilih seluruh negara.

Media Prima Bhd. menyumbangkan RM1 bagi setiap tiket yang terjual kepada Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok