‘Tak perlu melaga-lagakan Kamal, Uqasha, takkan mengubah apa-apa’

PELAKON Zain Saidin meminta peminat Kamal Adli dan Uqasha Senrose berhenti mengeluarkan sebarang komen yang boleh mengeruhkan lagi hubungan dua selebriti itu.

Menurut Zain, memburukkan mana-mana pihak adalah perkara yang merugikan kerana tidak mendatangkan sebarang faedah kepada Kamal dan Uqasha yang sah bercerai talak satu semalam.

“Tidak perlulah hendak melaga-lagakan mereka dan berpihak kepada sesiapa. Saya tidak berpihak kepada Kamal mahupun Uqasha, saya lebih kepada memahami.

Kita tidak perlu ambil tahu, cukup sekadar memberi sokongan dan kata-kata yang baik sahaja. Kalau kalian memburukkan sesiapa pun, tidak akan mengubah apa-apa.

“Mereka sendiri yang boleh selesaikan dan pilih apa yang mahu buat. Apa pun yang kita katakan tidak akan berguna,” katanya dalam sebuah video.

Akuinya, semua kecaman dan komen negatif terhadap dua pelakon tersebut adakalanya melebihi batas tanpa mengetahui apa sebenarnya yang berlaku.

“Saya paling tidak tahan dengan orang yang asyik mengata dan mengecam sana sini sedangkan tidak tahu cerita sebenar.

Tolonglah para peminat semua, cakaplah benda yang baik-baik sahaja.

“Berdosa juga kalau kita asyik kata benda yang tidak elok. Doakan yang baik-baik sahaja walaupun bunyinya klise,” ujarnya.

Dalam video sama, Zain berharap Kamal terus kuat dalam berdepan dugaan hidup terutama apabila perlu menerima hakikat sekatan untuk bertemu dengan anak perempuannya, Hawra Uqaira.

Dia juga mengakui kagum dengan kekuatan yang dimiliki Kamal sepanjang berdepan konflik rumah tangga sebelum ini.

Kamal, saya faham bahawa awak telah mencuba sehabis baik untuk pertahankan hubungan dengan Uqasha dan sudah tentu untuk anak kalian.

“Saya nampak emosi dan tahu sangat apa yang awak lalui kerana saya pun paling takut benda-benda sebegini berlaku, berpisah dengan pasangan sebab menggerunkan.

Saya takut juga jika tidak dapat berjumpa anak. Apabila tidak boleh lagi berjumpa anak pada bila-bila masa dan ada sekatan benda itu memang tidak menyeronokkan

“Kamal sangat kuat, masih boleh bekerja, tidak hilang punca dan dia memang hebat. Kalau berlaku kepada diri sendiri, mungkin saya sudah tumbang,” katanya lagi.

Tidak menyebelahi mana-mana pihak, Zain juga menitipkan kata-kata semangat buat Uqasha dan menghormati pendirian pelakon berkenaan.

“Uqasha pun ada pendiriannya sendiri, jadi saya tidak tahu siapa yang salah atau betul, saya tidak mahu kata sesiapa salah atau betul.

Saya tidak ada apa-apa perkara buruk untuk diperkatakan tentang Uqasha. Saya di sini bukan untuk menghukum atau menghakimi tetapi cuma ingin mendoakan yang terbaik,” jelasnya.

Suami kepada pelakon Rozita Che Wan itu turut menawarkan diri sekiranya Kamal memerlukan seseorang untuk meluahkan masalah satu hari nanti.

“Insya-Allah jika kita berjumpa lagi, saya harap kita dapat berbual. Kalau tidak mahu meluahkan apa-apa pun tidak mengapa, saya tak paksa.

Tetapi jika awak perlukan seseorang untuk mendengar, saya ada di sini dan sedia menjadi pendengar jika diperlukan.

“Berdoa dan sujud kepada Allah. Itulah yang terbaik yang boleh kita lakukan, hanya Dia yang mampu mengubah segala-galanya,” ujarnya lagi.

Terdahulu, Kamal dan Uqasha sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur semalam.

Untuk rekod, Uqasha memfailkan permohonan cerai terhadap Kamal pada 1 Oktober tahun lalu atas alasan tiada persefahaman.

Pasangan tersebut mendirikan rumah tangga pada 4 November 2021 dalam majlis tertutup di Janda Baik, Pahang dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira pada 27 April 2024. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok