Nabila Razali turun sekolah, ceriakan hari pertama persekolahan

HARI pertama sesi persekolahan bertukar lebih bermakna apabila penyanyi, Nabila Razali meluangkan masa menyantuni warga Sekolah Kebangsaan Taman Jasmine menerusi kunjungan istimewa, semalam.

Lebih istimewa, Nabila atau nama sebenarnya Nur Nabila Mohd. Razali, 34, turut mempersembahkan lagu #BalasBaik sebagai simbol mesej positif tentang empati, kebaikan dan sikap saling menghargai dalam kehidupan seharian.

“Hari pertama sekolah satu permulaan baharu, terutama buat adik-adik yang sedang membina jati diri serta masa depan.

“Saya harap lagu #BalasBaik menjadi peringatan bahawa setiap kebaikan, walaupun kecil, mampu memberi kesan besar kepada orang sekeliling,” katanya.

Tambah pelantun Peluang Kedua itu, sekolah menjadi medan terbaik untuk menanam nilai murni sejak usia muda agar sikap empati dan toleransi dapat dibentuk secara berterusan.

Kehadirannya sekitar pukul 10 pagi disambut sorakan ceria pelajar, guru serta kakitangan sekolah, sekali gus mencetuskan suasana penuh semangat pada hari pembukaan sekolah di seluruh negara.

“Sekolah tempat paling sesuai untuk menyemai kasih sayang, empati dan rasa hormat sesama insan sejak awal.

“Jika kita biasa membalas sesuatu dengan kebaikan, persekitaran sekolah dan masyarakat pasti lebih harmoni. Itulah mesej utama lagu ini,” ujarnya.

Paling penting kata ibu satuanak itu, seni seharusnya berperanan sebagai jambatan menyampaikan mesej membina, bukan sekadar hiburan semata-mata.

“Saya percaya muzik mampu menyentuh hati dan membentuk pemikiran, khususnya generasi muda. Jika lagu boleh menjadi dorongan untuk berbuat baik, itu sudah cukup bermakna buat saya,” luahnya.

Kunjungan tersebut diakhiri dengan sesi bergambar bersama pelajar dan guru, sekali gus meninggalkan kenangan manis serta suntikan motivasi buat warga sekolah untuk memulakan tahun akademik baharu dengan keyakinan, nilai murni dan semangat menyebarkan kebaikan. – HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok