Penonton ‘boo’ konsert RadjaWali ditamatkan atas faktor masa

KONSERT Pentas RadjaWali Live in Malaysia di Idea Live Arena Damansara bertukar kecoh apabila penganjur terpaksa memberhentikan persembahan Wali Band tepat pukul 12 tengah malam tadi berikutan kekangan masa.

Penonton yang memenuhi gelanggang yang boleh memuatkan kapasiti 5,000 orang itu pada awalnya enggan berganjak namun akhirnya melangkah keluar dengan perasaan marah.

Walaupun kumpulan popular Indonesia itu mahu memenuhi permintaan ramai serta meminta maaf, difahamkan mereka tidak dapat berbuat demikian yang didakwa disebabkan permit dan perjanjian antara penganjur dan pengelola venue.

Sekali gus, perkara tersebut membuatkan hajat Wali Band terbantut, manakala peminat pula pulang dengan perasaan tidak puas hati.

Ini kerana band kesayangan mereka belum mempersembahkan lagi sekitar empat lagu hits termasuk Yank dan Aku Bukan Abang Toyip.

Terdahulu, usai lagu Ada Gajah Di Balik Batu, suasana pentas digelapkan secara tiba-tiba seterusnya mencetuskan kekeliruaan ramai.

Pengumuman pengacara juga bekas penyampai radio, Isma Halil yang memaklumkan konsert terpaksa dihentikan membuatkan penonton menjerit sebagai tanda tidak puas hati.

Malah, masing-masing melaungkan ‘boo’ beramai-ramai bagi menggambarkan kekesalan berdepan situasi tersebut.

Terdahulu, konsert mega diberi nama Pentas RadjaWali Live in Malaysia itu menyaksikan rakan seperjuangan Wali Band, Radja memulakan persembahan.

Kumpulan dibarisi Ian Kasela selaku vokalis serta Moldyansyah Mulyadi dan Seno Aji Wibowo membawakan 18 dendangan.

Wali Band dianggotai Faank (vokalis, Ovie (keyboard) serta Tommy (dram) selain Apoy (gitar) yang tidak hadir atas faktor kesihatan pula sepatutnya menyampaikan 14 seleksi popular mereka.

Kali terakhir Wali Band yang ditubuhkan pada tahun 1999 itu beraksi di negara ini adalah pada Konsert Jiwa Kacau di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil pada Jun 2025.

Tiket konsert Pentas RadjaWali Live in Malaysia dijual pada harga bermula RM177 hingga RM977. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok