12
AKSI lompatan dari bawah pentas dijayakan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza pada Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam mencuri perhatian ramai.
Siti, 47, atau nama sebenarnya, Siti Nurhaliza Tarudin melakukan aksi tersebut sewaktu ingin membuat persembahan lagu tradisional.
Sebelum persembahan itu bermula, kamera sempat merakam aksinya dari bawah pentas ketika dia sedang membuat persiapan.
Video aksi hebat Siti itu kini tular dalam media sosial selepas dikongsikan oleh peminat yang hadir menonton konsert itu semalam.
Rata-rata netizen memuji aksi tersebut yang disifatkan sebagai kejutan yang berani. Malah, ramai yang menyangkakan aksi itu dilunaskan dengan bantuan AI (kecerdasan buatan).
Ingatkan AI rupanya betul dia lompat. Cayalah Tokti. Tengok dah macam srikandi nak pergi berperang. Mesti banyak kali berlatih,” komen netizen.
Selain membuat aksi lompatan, Siti turut membuat persembahan di atas kren.
“Sebenarnya saya gayat sikit menyanyi di atas kren yang tinggi. Tetapi untuk melihat anda semua terutamanya peminat saya yang duduk di bahagian atas, jadi saya nak juga menyanyi di atas kren,” katanya.
Pada malam konsert yang dianjurkan sempena tiga dekad pembabitan Siti dalam arena seni suara, beliau menyampaikan lebih 40 buah lagu antaranya Purnama Merindu, Dialah Di Hati, Kau Kekasihku, Jaga Dia Untukku, Falling In Love, Seribu Kemanisan, Menamakanmu Cinta, Balqis, Ya Maulai dan Nirmala. – HIBGLAM
Siti turut membuat persembahan secara duet bersama Umairah menerusi lagu Hati Kama, Noh Salleh (Kau Mawarku dan Bagaikan Sakti), Hafiz Suip (Pandang Pandang Jeling Jeling dan Muara Hati) dan Cakra Khan (Cinta Digarhayu dan Seluruh Cinta). – HIBGLAM
