MENJADI artis terakhir beraksi di Pesta Pulau Pinang, Sungai Nibong, kumpulan rock otai, XPDC sayu apabila tempat ‘bermain’ mereka bakal direhatkan buat sementara bagi memberi laluan kepada pembinaan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara.
Pemain basnya, Eddie berkata, malam ini adalah edisi ke-59 serta merupakan acara terakhir pesta yang menjadi kemegahan rakyat negeri terbabit, sekali gus persembahan mereka nanti diharap meninggalkan memori manis.
“Sejak kumpulan ini ditubuhkan sekitar 1988, Pesta Pulau Pinang antara ‘funfair’ yang kerap XPDC singgahi, beraksi serta menghiburkan pengunjung.
“Boleh dikatakan pesta yang menjadi gelanggang semua rakyat berbilang kaum bersantai seisi keluarga di sini turut meninggalkan nostalgia tersendiri buat band ini,” katanya.
Selain Eddie, band legenda yang mendapat gelaran Raja Funfair itu turut dibarisi Izo (gitar), Arif (gitar), Lola (dram) serta Mamu (vokal).
Sementara itu, Pengurus Kanan Pesta Pulau Pinang, Nuar Rizal Kamaruddin, 43, berkata, keputusan penutupan sementara disambut dengan perasaan sedih ramai artis yang beraksi di lokasi terbabit.
“Pesta Pulau Pinang mula diperkenalkan pada tahun 1966 di Padang Kota, sebelum berpindah ke tapak sekarang di Sungai Nibong pada tahun 1974.
“Sudah 50 tahun pesta ini bertapak di Sungai Nibong. Ia bukan sekadar acara, tapi ikon yang sangat dekat di hati rakyat Pulau Pinang dan pengunjung luar.
“Namun, perancangan bina Mutiara LRT memaksa tapak ini direhatkan selama enam tahun. Ikut perancangan, kerja-kerja fasa pertama akan bermula April ini,” katanya.
Nuar berkata, berita penutupan ini turut mengejutkan ramai selebriti yang pernah memeriahkan pentas pesta terbabit pada edisi 2025/2026 ini.
“Antaranya ialah Datuk Hattan, Ella dan Muss menyentuh mengenai penutupan tapak malah Siti Nordiana turut menitiskan air mata mengenangkan nasib Pesta Pulau Pinang.
“Datuk Awie sendiri merayu agar Pesta Pulau Pinang tidak dihentikan kerana takut orang ramai akan melupakannya bahkan beliau setuju jika lokasi ini dialihkan sedikit daripada tapak asal,” ujarnya.
Mengulas mengenai masa depan Pesta Pulau Pinang, Nuar memaklumkan walaupun terdapat perancangan untuk membina semula tapak pesta selepas projek siap, skalanya mungkin tidak lagi sama.
”Pembangunan semula nanti mungkin menyaksikan tapak pesta menjadi lebih moden tetapi saiznya dijangka mengecil kepada satu pertiga daripada saiz asal.
“Suasananya mungkin tidak akan sama lagi. Buat masa ini, tiada lokasi alternatif yang sesuai dikenal pasti untuk memindahkan operasi pesta dalam tempoh enam tahun direhatkan.
“Ada cadangan untuk ke Batu Kawan, namun memerlukan kajian mendalam. Sebenarnya Pesta Pulau Pinang dikenali sebagai pesta rakyat yang tidak berorientasikan keuntungan,” katanya.
Menurutnya, dengan tiket serendah RM5, pengunjung boleh menikmati konsert artis ternama juga merupakan harga yang mustahil didapati di tempat lain. – HIBGLAM
