DI sebalik senyuman tenang dan komitmen seni tanpa henti, terselit satu sisi peribadi anak seni bernama Afieq Shazwan yang jarang dipamerkan.
Pada saat ramai rakan seusianya sibuk membina mahligai bahagia, penyanyi, pelakon serta pengacara itu memilih untuk berdamai dengan takdir, menunggu waktu terbaik hadir tanpa paksaan.
Dalam dunia hiburan penuh jadual padat dan tuntutan kerja berlapis, Afieq bukan insan asing dengan persoalan jodoh malah soalan itu hadir tanpa henti baik daripada peminat, kenalan mahupun bisikan sendiri setiap kali usia melangkah ke hadapan.
Baginya, hidup bukan perlumbaan siapa paling cepat menamatkan zaman bujang sebaliknya, perjalanan memahami diri, tanggungjawab dan makna sebenar sebuah komitmen, lebih-lebih lagi apabila kerjaya menjadi nadi utama kehidupan.
Mencecah usia 29 tahun, semestinya perancangan perkahwinan sudah mula berlegar dalam fikiran pemilik nama sebenar Mohammad Shafieq Shazwan Zamros itu.
Impian membina rumah tangga sebenarnya telah lama bersemi, cumanya belum menemukan destinasi.
“Kali ini, saya meletakkan sasaran menamatkan zaman bujang pada usia 30 tahun kerana apa yang pernah dirancang sebelum ini tidak menjadi kenyataan.
“Sebenarnya saya pernah berhasrat berkahwin ketika usia 28 tahun, keinginan memiliki keluarga sendiri memang ada. Cuma buat masa ini, calon belum ditemui.
“Jadi saya serahkan urusan jodoh kepada ketentuan takdir. Mudah-mudahan pada usia 30 tahun nanti, impian itu menjadi kenyataan dan saya bertemu teman hidup dicari-cari,” katanya kepada HibGlam.
Ditanya mengenai hubungan rapatnya dengan seorang penyanyi wanita, pelantun lagu Mendayung Rindu itu tidak menafikan keselesaan terjalin antara mereka, namun enggan mendahului takdir.
“Kami memang berhubungan baik kerana sudah lama saling mengenali dan serasi sebagai kawan. Kalau ditanya soal jodoh, itu belum pasti. Kita tidak tahu apa ketentuan Allah.
“Saya selesa dengan dia, itu benar. Jika memang ada jodoh, saya terima dengan hati terbuka. Namun buat masa sekarang, biarlah semuanya berjalan mengikut takdir,” ujarnya.
Dalam ketenangan itu, bintang filem Abu Si Raksasa itu mengakui persediaan peribadi sudah lama dilakukan, bukan sahaja dari segi emosi, malah melibatkan masa depan.
“Persediaan asas sudah dibuat. Contohnya memiliki aset seperti rumah sendiri sejak beberapa tahun lalu sebagai jaminan masa depan apabila berkeluarga. Buat masa ini, saya masih tinggal bersama emak di Klang,” dedahnya,
Paling penting kata jejaka hitam manis itu, ibunya menjadi keutamaan dalam hidup dan memilih untuk terus berada di sisi wanita tersayang yang kini berusia 74 tahun.
“Emak sudah berusia, jadi biarlah saya menjaganya. Saya selesa menetap di Klang dan berulang-alik ke Kuala Lumpur jika ada urusan kerja.
“Emak juga lebih senang tinggal di rumah lama kerana banyak memori indah tercipta di situ. Saya hormati keputusan itu,” tutupnya.
Dalam perkembangan seni, Afieq kini sibuk mempromosikan single terbaharunya berjudul Oh Tuhan yang boleh didengari menerusi semua platform penstriman digital sejak 26 Disember tahun lalu.
Lagu tersebut menjadi refleksi peribadi, seiring fasa hidupnya yang semakin matang, tenang dan berserah.
