‘Koma ibarat dah mati, rasa macam terbang di awan putih’

BUKAN sekali dua usaha memujuk penerbit terkenal Datuk A. Aida untuk berkongsi pengalaman kisah komplikasi kesihatan yang pernah dialaminya ini dilakukan.

Ada sahaja halangan, malah wanita asal Terengganu itu juga menolak untuk ditemu bual. Mungkin ketika itu, pemilik nama penuh Zaidah Awang, 56, itu masih dalam proses menghadam pengalaman antara hidup dan mati yang dialaminya serta mensyukuri peluang kedua yang diberikan Allah SWT.

Khalayak tahu, beliau terpaksa ditidurkan selepas menjalani pembedahan lutut pada hujung September tahun lalu. Satu situasi mengejutkan, keadaannya juga kritikal.

Sabar HibGlam menunggu kesediaannya, lantas keterbukaan A. Aida yang ditemui pada Khamis lalu (kelmarin) disambut penuh rasa hormat.

Ternyata, beliau wanita yang sama masih ceria dan kuat berseloroh. Kongsinya, kesihatan semakin baik tetapi belum pulih sepenuhnya. Pergerakan harian masih terbatas, berjalan hanya mampu perlahan, manakala aktiviti seperti berlari atau turun tangga masih terasa sakit.

“Kesihatan saya masih 50-50. Berjalan boleh, tapi berlari memang tidak boleh. Turun tangga masih sakit, solat pun kena duduk. Hakikatnya, saya sangat menyesal buat pembedahan lutut itu,” luahnya jujur.

Sebenarnya, sebelum pembedahan, lututnya tidaklah serius. Bengkak hanya berlaku selepas melakukan aktiviti lasak seperti berkuda dan surut apabila berehat.

“Keadaan berlarutan hampir setahun. Kawan-kawan larang saya buat pembedahan sebab lutut tidak sakit, cuma bengkak. Tapi niat saya cuma satu, saya mahu sihat untuk tunaikan haji,” katanya.

Keputusan menjalani pembedahan dibuat selepas diyakinkan dengan janji doktor, boleh keluar hospital dalam tempoh tiga hari sahaja.

Siapa sangka, pembedahan tersebut bagaimanapun membawa komplikasi serius sehingga beliau koma selama beberapa hari dan hampir meragut nyawa. Bahkan semasa koma doktor menjelaskan harapan untuk pulih tipis dan meminta keluarga bersedia dengan segala kemungkinan.

BERDEPAN detik antara hidup dan mati, A. Aida merakamkan ucapan terima kasih kepada semua keluarga, kenalan dan rakyat Malaysia yang mendoakan kesembuhannya.

“Doktor beritahu anak saya supaya panggil semua ahli keluarga dan bacakan Yasin. Doktor sendiri kata saya sudah tiada harapan,” katanya bernada sebak.

Sungguhpun begitu, doa keluarga dan orang sekeliling menjadi asbab beliau kembali sedar.

Saat itulah A. Aida menyedari betapa besar nikmat hidup yang dipinjamkan semula kepadanya.

“Saya sangat bersyukur. Allah beri saya peluang hidup buat kali kedua. Sebab itu saya ingin menasihati orang ramai, kalau lutut tidak sakit, jangan sesekali buat pembedahan. Sendi jangan diusik melainkan memang sudah tiada ikhtiar lain,” jelasnya.

Saat ditanya tentang pengalaman semasa koma, lama beliau terdiam. Cuba mencari perkataan yang tepat barangkali. Tetapi apa yang pasti pengalaman itu masih segar dalam ingatan dan meninggalkan kesan mendalam terhadap dirinya.

“Paling saya tidak boleh lupa sepanjang koma, saya rasa seolah-olah berterbangan di atas awan putih, ibarat saya sudah mati.

“Saya juga rasa teramat sakit yang tidak pernah saya rasai sebelum ini. Mungkin itulah rasa sakit orang hendak meninggal. Walaupun koma, saya masih ingat waktu itu saya berdoa agar diampunkan segala dosa dan minta Allah ambil nyawa kerana terlalu sakit,” ujarnya dengan mata yang mula berkaca.

Antara dua alam

Sambungnya, ketika memandang ke bawah dia nampak berjuta-juta manusia cuba menggapainya. Antara yang berjaya menariknya turun adalah adik, abang dan beberapa ahli keluarga terdekat.

“Setiap kali mereka tarik saya ke bawah, rasa sakit itu hilang sebentar. Apabila saya naik semula ke atas, rasa sakit itu kembali. Kejadian itu berulang sebanyak lima kali sehinggalah saya sedar,” katanya.

Merujuk perkara tersebut kepada seorang ustaz, A. Aida dimaklumkan bahawa pengalaman itu adalah keadaan ‘antara dua alam’ dan manusia yang cuba menggapainya itu adalah simbolik terhadap doa dititipkan keluarga dan orang ramai.

“Tidak tahu doa siapa yang diangkat Allah, tetapi saya berterima kasih kepada semua tidak kira keluarga, saudara-mara dan orang ramai yang prihatin serta ambil masa mendoakan saya,” ucapnya.

Meskipun masih menjalani rawatan fisioterapi dan rawatan PRP (Platelet-Rich Plasma), semangatnya untuk menunaikan haji sedikit pun tidak luntur.

“Saya berazam hendak menunaikan haji tahun ini. Saya tidak culas buat fisioterapi yang sudah masuk bulan ketiga. Kata doktor sekitar Mei (musim haji) keadaan saya akan okey. Insya-Allah, saya yakin dan doa setiap hari dapat menunaikan rukun Islam yang kelima,” katanya.

BERCAKAP daripada pengalaman sendiri, A. AIDA menasihati orang ramai agar tidak melakukan pembedahan lutut melainkan benar-benar perlu dan tiada ikhtiar lain.– M. Firdaus M. Johari

 

Beliau juga sudah membuat rayuan haji selepas mendaftar sejak 2008 dan berharap diberi peluang untuk menunaikan haji buat kali pertama.

“Kalau tiada niat haji, mungkin saya tidak buat pembedahan itu. Tapi mungkin Allah bagi saya hidup semula sebab Allah hendak saya tunaikan haji,” ujarnya penuh pengharapan.

Anak emak

Biarpun kesihatan teruji, empayar seninya berjalan seperti biasa. Produksi A. Aida masih aktif dan kini sudah 10 tahun menerbitkan program untuk saluran Salam HD di Unifi TV.

Terbaharu, beliau membuka sebuah sayap penerbitan, Hello Production, khas untuk anak keduanya, Azeva Natassha.

“Impian saya mahu dia teruskan perjalanan A. Aida Production, tetapi dia mahu perniagaan yang ada identiti sendiri, bukan dibayangi saya.

“Jadi, Hello Production khas untuk dia dan menerusi produksi ini saya bakal menerbitkan sebuah filem berjudul Bisikan Nafsu, lakonan anak saya bersama Aniq Suhair,” tuturnya.

Tahun ini juga, beliau fokus perniagaan resort miliknya, D’Manggis Janda Baik di Janda Baik, Pahang.

“Resort saya boleh muat 100 orang untuk hari keluarga, ada mini zoo dan ada macam-macam kemudahan yang mampu menarik pelancong dalam serta luar negara. Insya-Allah doakan yang baik-baik buat saya,” katanya.



Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok