Idola terbuang, populariti berkecai, karier terkubur

DUNIA K-pop sering digambarkan serba hebat, sorakan peminat dan kejayaan bertali arus, namun di balik pentas glamor itu, wujud sisi kelam sarat tekanan, kontrak ketat serta keputusan kejam agensi hiburan tanpa ruang kompromi.

Fenomena idola K-pop dibuang agensi bukan hanya cerita sensasi, sebaliknya realiti pahit industri hiburan Korea. 

Isu skandal, konflik dalaman, salah laku atau perbezaan visi kreatif sering berakhir dengan satu noktah drastik yang menyaksikan kontrak ditamatkan dan kerjaya terhenti.

Keputusan itu bukan sahaja menjejaskan reputasi individu, malah memberi kesan domino terhadap kumpulan, peminat dan landskap industri. 

Ada idola berjaya bangkit semula, namun tidak kurang terkubur dalam diam selepas dihukum sistem tanpa belas ihsan.

Kimchi Panas minggu ini menyorot beberapa kes pengguguran idola K-pop paling mencuri tumpuan, membongkar bagaimana populariti boleh musnah sekelip mata apabila kontroversi mengatasi bakat.

  • Danielle

Nama Danielle menjadi tajuk utama menjelang penghujung tahun lalu selepas kontraknya bersama kumpulan NewJeans ditamatkan secara rasmi agensinya, ADOR. 

Keputusan mengejutkan itu mencetuskan gelombang perdebatan memandangkan NewJeans berada di puncak dominasi carta dan pengaruh global.

Konflik berpanjangan melibatkan pihak pengurusan, produser utama Min Hee-jin serta perbezaan hala tuju kreatif mencetuskan ketegangan yang sukar dipulihkan. Sengketa kontrak turut merumitkan keadaan sehingga hubungan profesional dilihat tidak lagi mampu diselamatkan.

Kontrak ditamatkan mencetus polemik membimbangkan dalam industri seterus membuktikan bahawa kejayaan tidak menjamin keutuhan kerjaya apabila kuasa korporat bertembung dengan identiti seni.

  • Taeil

SM Entertainment bertindak pantas menamatkan kontrak Taeil selepas penyanyi berusia 31 tahun itu dikaitkan dengan kes pelecehan seksual. 

Keputusan drastik dibuat sebelum siasatan rasmi selesai, mencerminkan dasar sifar toleransi agensi terhadap risiko reputasi.

Langkah tersebut mengejutkan peminat apatah lagi idola tinggi lampai itu terkenal dengan imej bersih serta jarang terpalit kontroversi. 

Menyingkirkan Taeil itu turut memberi isyarat tegas bahawa integriti moral dianggap sama penting dengan bakat, malah mampu mengatasi rekod kerjaya yang bertahun-tahun dibina. 

Kes ini juga menunjukkan agensi tidak akan berkompromi apabila imej awam tercalar.

  • Soojin

Kes Soojin kekal sebagai antara episod paling menyayat hati dalam sejarah K-pop. 

Tuduhan membuli di sekolah menghantui kariernya sehingga Cube Entertainment nekad menamatkan kontrak eksklusif pada 2021.

Walaupun penafian awal dibuat, kemunculan beberapa saksi dengan naratif konsisten meletakkan agensi di posisi sukar.  

Kontroversi berlarutan mengancam masa depan keseluruhan kumpulan.

Pemergian idola berusia 27 tahun itu meninggalkan kesan mendalam terhadap (G)I-DLE, membuktikan bagaimana isu masa lalu mampu menghancurkan kejayaan masa depan.

  • Jay Park 

Jay Park menjadi mangsa awal budaya pembatalan kontrak apabila ciapan lamanya yang berkonotasi anti Korea dalam MySpace mencetuskan kemarahan netizen negara itu. 

Kenyataan idola berusia 38 tahun itu yang dianggap menghina Korea tular dalam media sosial dan menjadi perdebatan ramai.

Walaupun ciapan itu dibuat sebelum debut, tekanan awam semakin memuncak sehingga JYP Entertainment tidak mempunyai pilihan selain menamatkan kontrak penyanyi itu. 

Kes terbabit membuka mata ramai betapa jejak digital mampu menghantui anak seni  meski sudah lama berlalu.

  • Kim Garam

Karier Kim Garam musnah sekelip mata apabila tuduhan kes buli di sekolah tular sejurus selepas debut bersama kumpulan LE SSERAFIM. 

Kontroversi itu hangat diperkatakan dan memicu kemarahan awam. 

Kendatipun agensinya, Source Music mempertahankan Kim Garam, tekanan media serta sentimen negatif berterusan memaksa kontraknya  ditamatkan.

Kes idola berusia 20 tahun itu membuktikan kekuatan budaya ‘cancel’ dalam K-pop, di mana peluang kedua sukar diperoleh meskipun usia masih muda dan kerjaya baru bermula.



Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok