‘Dah habis idah, baru Firdaus datang dekati saya’

RUMAH tangga ‘lama’ diuji seawal lima bulan pertama sebelum akhirnya runtuh, Amylea Azizan bangkit daripada luka dan kembali tersenyum saat menemukan kebahagiaan baharu bersama jejaka yang lebih meluhur apresiasi cintanya.  

BERMULA dengan perkahwinan mengejut pada 27 November 2023 bersama lelaki asal Singapura, Mohammad Aqbar Mohamad, kehidupan penyanyi Amylea Azizan sebenarnya ada ranjau yang tidak ketahui banyak orang.

Bahagia seketika, namun langit tidak selamanya cerah, pelangi kasih yang berpaut pada perkahwinan jarak jauh tidak bertahan lama apabila Amylea mengesahkan perceraian mereka pada Mac tahun lalu.

Dedahnya sebelum ini, hubungan tersebut mula retak seawal lima bulan selepas ijab kabul, sekali gus meninggalkan luka dalam perjalanan hari-harinya.

Tutup segala luka, wanita berusia 39 tahun menyarungkan tekad dan harapan baharu. Dia mahu kembali menemui sinar kebahagiaan, apatah lagi hatinya kini disunting seorang jejaka bernama Firdaus.

“Tahun ini saya ada tiga benda besar nak buat iaitu satu mini album dan yang terdekat saya akan lancarkan dua lagu. Kedua, saya nak buat showcase untuk pertama kali bagi meraikan 20 tahun dalam industri. 

“Ketiga saya berharap dapat ‘settle down’ dengan Firdaus dan ada keluarga sendiri,” katanya membuka bicara ketika sesi fotografi bersama HibGlam baru-baru ini. 

Berkongsi lanjut, pelantun lagu Tak Pernah Hilang itu memaklumkan hubungan mereka lebih akrab selepas dia menamatkan tempoh idah tahun lalu. 

“Orang ini memang saya dah kenal, dia seorang ahli perniagaan dan jurutera. Kami mula berkenalan sebagai rakan bisnes sahaja, masa saya kenal dia pun saya masih bersangkut lagi dengan kisah lalu. 

“Tak ada hubungan apa-apa pun, kami jumpa balik tahun lalu untuk projek berbeza dan ketika itu dia tahu saya dah habis idah. 

Barulah dia mendekati saya. Dia dah lama nak cakap tapi tak berani, dia memahami dan menghormati keadaan,” ujarnya lagi. 

Disebabkan baru sahaja keluar daripada hubungan menyakitkan, Amylea mengakui pernah cuba menjauhkan diri, namun keikhlasan Firdaus akhirnya meluruhkan benteng hatinya.

“Benda pertama keluar daripada mulut dia adalah rasa sayang terhadap persahabatan dan nak bertanggungjawab kepada saya.

“Saya cuba macam-macam cara nak mengelak tapi dia sangat bersungguh-sungguh. 

“Jadi, saya rasa tak boleh elak. Fasa sekarang adalah dia memang sangat serius. Kalau Tuhan kata jodoh, saya akan terima saja sebab saya betul-betul nak ada keluarga. 

“Dia pun sudah jumpa mak saya dan mak saya pun lebihkan dia daripada saya. Saya mengadu apa-apa pun semua tak pertahankan saya,” selorohnya. 

Nikmat cinta

Pada masa sama, Amylea teruja merasai kembali nikmat dicintai dan dihargai sebagai seorang wanita.

“Perkahwinan pertama saya rasa seolah-olah tak wujud sebab beberapa bulan saja kan, kami bercinta selepas kahwin tapi kali ini kami kenal dulu dan ada masa untuk bercinta, bergaduh dan mengenali. 

“Sebelum kahwin dulu, saya dengan Farouk Roman (bekas kekasih) 12 tahun tak kahwin-kahwin pun. Sekarang dah jadi kawan baik tak ada hubungan. 

“Ini pertama kali saya rasa jatuh cinta dengan seseorang selepas beberapa tahun. Ada orang nak telefon dan bermanja-manja dengan kita. 

Masa kahwin dulu pun tak ada macam itu. Ketika itu saya lebih cintakan orang tetapi kali ini dia (kekasih) yang lebih cintakan saya,” jelasnya. 

Bagaimanapun, Amylea mengakui terselit rasa gementar di relung hatinya akibat trauma masa lalu.

HATI ditambat seorang ahli perniagaan, Amylea kini rasa dihargai dan dimanjakan, berbeza daripada pengalaman hubungan terdahulu. Foto MOHAMAD IQBAL ROSLI

“Saya bersyukur kerana Tuhan begitu cepat memberikan saya peluang kedua untuk merasai kebahagiaan sebab saya rasa tempoh lebih setahun itu bukan sekadar sedih, perkataan sedih sendiri terlalu ringan untuk menggambarkan apa yang saya lalui.

“Dalam masa  sama, saya masih dibelenggu rasa takut. Walaupun dia sangat meyakinkan, pengalaman lalu membuatkan saya berubah menjadi individu berbeza. Perkara kecil mudah cetuskan emosi buat saya cemas.

“Saya bukan lagi diri saya yang dahulu ada kebimbangan dalam diri bahawa saya mungkin mensabotaj diri sendiri. Apabila segalanya kelihatan baik, saya takut jika perkara kecil berlaku, saya akan mudah runtuh, mama cakap itu trauma,” luahnya yang berharap hubungan ini akan berterusan ke jenjang pelamin.

Selain kisah peribadi, tahun 2026 turut membawa sinar baharu dalam perjalanan seni Amylea. 

Selepas sekian lama menumpukan perhatian kepada penghasilan lagu untuk artis lain, kini dia kembali berdiri sebagai penyanyi untuk karya sendiri.

Membuka tahun dengan perkara indah, Amylea bakal hadir dengan dua buah lagu yang akan menjadi runut bunyi (OST) drama Ramadan sentuhan Shahrulezad Mohamed berjudul Sujud Terakhir Encik Norman. 

“Ada dua lagu baharu yang akan dilancarkan untuk drama Sujud Terakhir Encik Norman. Saya sebenarnya sangat gementar sebab lagu-lagu itu macam langit dan bumi. 

“Saya percaya lagu rancak itu ada kaitan dengan diri sendiri manakala lagu balada pula kebiasaannya saya akan berkongsi sedikit pengalaman atau perasaan dari sudut pandangan saya. 

“Pada masa sama, saya turut mengumpul cerita. Berdasarkan kisah-kisah tersebut serta kesesuaian situasi, maka terhasillah lagu-lagu bersifat emosional atau sedih,” kongsinya.

Jeda

Bercakap tentang perancangan, tahun ini, tiada lagi lagu Amylea Azizan untuk penyanyi lain, tumpuannya adalah untuk karier sendiri. 

“Sekarang saya berehat daripada menerbitkan lagu untuk artis lain sekurang-kurangnya selama enam bulan. 

“Setiap tahun sebelum ini, hampir setiap bulan saya hasilkan lagu untuk pelbagai artis. 

“Namun untuk 2026, saya memilih berhenti seketika dan memberi ruang kepada diri sendiri dengan tidak menerbitkan karya untuk orang lain buat sementara waktu,” ujarnya.

Meskipun keputusan tersebut mencabar kerana penulisan lagu adalah sumber pendapatan, Amylea sanggup berkorban termasuk berehat daripada bidang lakonan.

Keputusan ini agak mencabar kerana penulisan lagu juga merupakan salah satu sumber pendapatan. 

“Namun, saya sanggup berkorban buat sementara waktu, termasuk berehat daripada bidang lakonan. 

“Saya tidak menerima sebarang tawaran lakonan dan hanya memberi tumpuan kepada promosi dua buah lagu ini. 

“Saya benar-benar berharap langkah ini akan membuahkan sesuatu yang bermakna,” tutupnya. 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok