SELEPAS 10 tahun dengan lima musim bersamaan runtime sekitar 45 jam atau 2,700 minit, akhirnya siri sains fiksyen kesayangan dunia, Stranger Things (ST) menoktahkan perjalanannya dengan episod finale yang menerima respons pelbagai peminat.
Sehingga kini, siri ciptaan adik-beradik Matt dan Ross Duffer tersebut terus menjadi percakapan penonton terutama di gelanggang sosial media. Ada yang air mata masih belum kering, ada juga tidak berpuas hati dengan penamat — tidak kurang, ada yang berkeras mahu skrip finale ST ditulis semula.
Buat penulis secara peribadi, tidak semua penamat dalam penceritaan itu memerlukan pengakhiran yang gembira. Bagaimana Duffer memilih untuk meletakkan titik pada jalan cerita ST, sebegitu bebas juga penonton berhak untuk sama ada menerima atau menentangnya.
Plot holes
Pertama sekali, menyentuh soal kualiti dari segi permainan karakter, pengarahan, runut bunyi, kesan khas (VFX) termasuk teknik janaan komputer (CGI) dan perihal penting lain, sememangnya tiada keluhan. Pengarah dan semua yang terlibat tahu untuk melunaskan tugasan dengan sempurna.

Lakonan ikonik mendebarkan Millie Bobby Brown menerusi karakter Eleven menentang villain utama Stranger Things iaitu Vecna dan Mind Flayer.
Bagaimana pengarah menggulung helaian terakhir ST dalam pada banyak tanda tanya yang masih bersarang dalam sanubari penonton, penulis percaya, apa yang dibentangkan hanya bersifat fiksyen. Maka, tidak perlu diangkat terlalu serius.
Kendatipun, persoalan berstatus plot holes seperti hubung kait antara Joyce dan Hopper dengan Vecna memandangkan mereka rakan di sekolah masih menebal.
Ke mana Demogorgan pada atau selepas kehancuran Upside Down? Mengapa Will begitu penting kepada Vecna?
Bagaimana Max boleh bergraduasi walaupun ‘menghilang’ untuk tempoh lama? Apa terjadi kepada Dr. Kay? Siapa atau apa yang membuka selak kunci Will di episod pilot musim pertama?
Semua persoalan itu masih bersarang di minda. Dalam pada kebarangkalian tersebut mungkin terjawab untuk ‘masa depan’ ST akan datang, ketahuilah bahawa tidak semua persoalan tersebut perlu terjawab. Tiada karya yang sempurna 100 peratus, bahkan yang datang dari Hollywood.
Move on, nasib Eleven
Yang pasti, seperti apa didedahkan pengarah, memang sah bahawa ST akan ada spin-off tidak lama lagi. Bagaimanapun, tiada lagi Hawkins, tiada lagi Upside Down dan tiada lagi Eleven dan rakan-rakan.
Pengarah mendedahkan kunci untuk spin-off terletak pada batu misteri yang keluar dari beg bimbit atau briefcase yang dibuka Henry pada episod finale.

Selepas 10 tahun, drama sains fiksyen fenomena dunia, Stranger Things menoktahkan perjalanan dengan episod finale yang membuatkan ramai peminat menitiskan air mata.
Buat masa sekarang, para penggemar ST— berdamai dengan apa yang sudah dibentangkan. Sama ada Eleven (Millie Bobby Brown) mati atau tidak pada penghujung cerita, itu boleh diproses dengan fikiran yang matang.
Sama ada teori Mike (Finn Wolfhard) bahawasanya Eleven berada di tempat lebih tenang iaitu pergunungan yang ada tiga air terjun perlu dipercayai, itu terpulang kepada masing-masing.
Penulis memilih untuk percaya bahawa Mike dan Eleven adalah lebih baik tidak disatukan untuk menjaga keamanan sekeliling kerana itulah realiti kehidupan. Dalam hidup, ada perihal yang hadir untuk mematangkan dan memberi pengajaran meneladani masa depan.
Seperti apa yang terbit dari bibir Eleven sebelum menghilang: ‘from the day we met, you’ve always seen me… the real me’, itu adalah 1,000 lebih baik berbanding kitaran ST yang berulang-ulang dengan sengsara sama selagi Evelen terus berada dalam kelompok penggemar permainan Dungeons & Dragons (D&D).
Stranger Things Finale Showrunner: Matt, Ross Duffer Pelakon: Winona Ryder, David Harbour, Millie Bobby Brown, Finn Wolfhard, Gaten Matarazzo Durasi: 2 jam 8 minit Sumber: Netflix Bintang: ★★★★☆

Satu dokumentari khas akan diterbitkan pada 12 Januari 2026 yang membawa penonton menyingkap perjalanan, memori dan penggambaran BTS Stranger Things.
