STATUS orang kelainan upaya (OKU) yang digalas selepas serangan angin ahmar akhir 2023 tidak melunturkan semangat pelakon, penyanyi, pelawak dan pengacara, Isma Aliff meneruskan kehidupan.
Sebagaimana dikenali ramah dan ceria sebegitulah Isma sampai ke akhir hayat. Kesempatan menyantuni anak seni berjiwa besar di kediamannya di Kampung Melayu Ampang pada November lalu menjadi nostalgia tidak mudah padam, masih basah senyumannya di ingatan penulis.
Biarpun permintaan mewawancaranya diajukan pada saat akhir, dengan berbesar besar hati pemilik nama lengkap Muhammad Latiff Ismail itu mengalu-alukan kehadiran HibGlam dan jurugambar.
Dalam suasana gerimis, kunjungan ke kediaman masih menyaksikan betapa keperibadian insan ‘happy go lucky’ itu cukup kuat meladeni hari-hari terakhirnya.
Bersemangat
Sungguh pun kudrat tidak segagah dulu, Isma sedia menanti kami dengan sengaja membiarkan pagar serta pintu tidak berkunci.

ISMA bersama Dr Sam (dua dari kanan) ketika menjayakan program Hiburan Minggu Ini terbitan RTM pada era 80-an.
Maaf, rumah bujang. Tiada air teh o nak disediakan. Tunggu ada orang rumah,” seloroh bapa kepada dua anak itu sebaik penulis duduk di sofa hitam di depan katil yang menjadi tempatnya beristirehat.
Lebar senyuman bintang filem Marah Marah Sayang itu menyambut kedatangan tamu. Hidup bertemankan tongkat, namun sesekali ada yang menjenguk, ada juga teman boleh diajak berborak.
“Selalunya saya seorang sahaja di rumah, adik yang selalu datang menjenguk. Jiran dan kawan sekolah pun rajin singgah, begitu juga rakan artis iaitu Ebby Saiful.
Tapi mereka singgah sekejap, tak mengapalah. Itu pun sudah besar rahmat. Saya bersyukur ramai ambil berat.
“Kiranya sepanjang lebih setahun tinggal sendirian selepas ibu meninggal dunia pada 2 September 2024, makan saya semua terjaga. Ramai kongsi rezeki,” ujarnya sambil menunjukkan bungkusan makanan di tepi katilnya.
Menurut selebriti yang aktif di arena seni sekitar pertengahan era 1980-an itu, disebabkan pergerakan terbatas, adiknya Shamsidah Ismail, 60, meletakkan ubat-ubatan, minyak angin serta telefon berhampirannya.
Dahulu masa popular kita bau minyak wangi, sekarang bau minyak angin,” guraunya lagi bagai tiada gundah bersarang di hati.

ISMA mengawali kariernya sebagai penyanyi sebelum menjadi pelakon, pelawak dan pengacara.
Sesekali, sepanjang berbual mengenang fasa lampau iaitu bermula dengan program di RTM hingga ke era rakam lagu di studio Booty Boys dan beraksi di layar perak, Isma bangun menunjukkan aksi teruja.
Sekali gus, aksi spontan bercerita dengan nada bersungguh-sungguh itu menunjukkan kecintaan terhadap dunia seni yang menjadi nadi kekuatannya.
Pada masa sama, Isma turut menunjukkan tempatnya terjatuh dari katil ketika ibunya masih ada sekitar setahun lalu.
Di sinilah saya jatuh, langsung tak boleh bangun dari tengah malam sampai waktu pagi ketika adik saya sampai. Mujur tiada apa-apa,” ungkapnya.
Banyak yang kami bualkan, janji dalam hati akan singgah lagi menziarahi secara peribadi. Namun, kuasa Allah tiada siapa mampu menghalang apabila atas asbab terjatuh sekali lagi pada minggu lalu, kesihatan Isma semakin merosot.
Pukul 8 pagi kelmarin, anak seni yang sepanjang empat dekad mengabadikan diri menghiburkan peminat itu menghembuskan nafas terakhir di kediamannya.
Pergi tanpa insan tersayang, anak dan isteri di sisi, bapa kepada dua anak itu sebenarnya sering berpesan kepada sahabat terdekat bahawa dia memaafkan semua orang.
Sempat berbakti kepada syurganya yang terlantar bertahun-tahun, ceritanya kepada HibGlam ketika zaman kanak-kanak dia pernah menjaja kuih dengan berbasikal di sekitar Keramat selain menjual ikan di pasar pagi.

DALAM dakapan kenangan. Allahyarham Isma bersama Allahyarham Mr. Os dalam salah satu adegan filem lakonan mereka.
Laluan sebagai penyanyi terbuka ketika bekerja sebagai pemandu kepada komposer Kasma Booty sehingga beliau dapat menghasilkan empat album iaitu Eksyen Saja, Dengar Tau, Kembara Duka serta Macam-Macam Ada.
Terus abadi
Isma kemudian aktif berlakon, melawak dan sebagai hos, kali terakhir beraksi di pentas adalah di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersama Datuk Jamal Abdilllah, Liza Aziz serta ramai penyanyi seangkatan sekitar 2023.
Beliau juga pengacara popular yang memulakan kerjaya dalam bidang seni pada tahun 1986 menerusi program di stesen televisyen RTM menyerlah menerusi filem Mawar Merah.
Antara naskhah lakonannya di layar perak termasuk Sayang Ibu, Jaket Biru, Kembar Siam, Romeo dan Budak Lapok Osman (suara latar), selain kerap muncul membintangi drama.
Kali terakhir Isma beraksi dalam program realiti adalah bersama pada program Maharaja Lawak Mega 2013 di bawah kumpulan Osama bersama Allahyarham Mr. Os.
Walaupun kini Allahyarham sudah tiada, jasa, bakti serta hasil kerja seninya terus mekar di persada hiburan. – HIBGLAM
