‘Tak payah jadi pelawak, cari kerja menjamin masa depan’

KEHIDUPAN sebagai anak seni tidak selalunya indah, adakalanya mewah dengan tawaran persembahan namun terdapat juga musim dipandang sepi oleh stesen televisyen dan mana-mana penganjur acara.

Situasi sebegitu yang diakui Fad Bocey atau nama penuhnya Muhammad Fadzlie Mohd Nizam yang ketika ini mendedahkan ramai pelawak tanah akhir sedang kehilangan arah dan sumber pendapatan susulan kurang tawaran persembahan.

Penutupan operasi saluran Astro Warna pada 2024 yang sebelum ini banyak menyiarkan program komedi juga turut menjejaskan peluang mereka bersiaran dalam program televisyen.

Menurutnya, kitaran dunia pelawak ketika ini berada di tahap membimbangkan apabila ada yang terus bergelut mencari ruang mempamerkan bakat sedia ada demi sesuap nasi.

“Kalau tanya saya tentang dunia pelawak ketika ini, sangat menyedihkan. Pusingan kami kalau dalam sebuah roda, ketika ini berada di bahagian bawah walaupun dahulu pernah berada di atas.

“Mahu atau tidak memang kena terima, pelawak, penyanyi, pelakon memang ada waktu kemuncak tetapi perkara tersebut tak kekal lama

“Sekarang kami seperti sudah tiada rumah (selepas Astro Warna ditutup). Ketika ini kebanyakan pelawak mulakan inisiatif sendiri buat podcast sendiri sebab itu sahaja ruang yang kami ada,” katanya kepada HibGlam.

Layak digelar senior dalam kalangan pelawak generasi baharu, Fad menasihatkan anak muda yang ghairah berfikir soal jaminan masa depan sebelum memasuki dunia lawak

Jelasnya, ruang dan peluang yang diberikan stesen televisyen terhadap pelawak tanah air sangat terhad.

“Sepanjang 14 tahun dalam industri setahun sekali saja kami dapat keluar televisyen, itu pun pun bila ada pertandingan, barulah dipanggil.

“Kadang-kadang nak kata kecil hati, memang ada, majlis anugerah pun tak pernah dijemput.

“Zaman sekarang persaingan terlalu ramai, pempengaruh media sosial, artis baharu dan pelawak sedia ada lagi, cuma saya tak pernah rasa dengki kerana rezeki Tuhan sudah tetapkan,” jelasnya.

Selain bimbang, dia berharap pentas komedi tempatan akan sehebat rakan seperjuangan di Indonesia yang semakin hari semakin berkembang.

“Dunia pelawak di sini agak merisaukan kalau nak dibandingkan dengan Indonesia.

“Indonesia punya perkembangan sangat jauh tinggalkan kita. Walaupun berjalan sendiri, mereka masih boleh bertahan.

“Macam kami, mahu atau tidak tetap harapkan stesen televisyen untuk terus ada dalam dunia ‘mainstream’,” katanya lagi.

Fad yang kini penyampai radio Suria FM berharap lebih banyak peluang dan ruang diberikan kepada golongan pelawak pada masa akan datang sekali gus mengembalikan kegemilangan dunia komedi tanah air.

“Kadang-kadang orang cakap tak malu ke selalu bersiaran langsung dalam TikTok? Cuba jawab, platform apa lagi yang kami ada?

Bila saya tengok kawan-kawan pelawak yang dah buat macam-macam inisiatif lain seperti ada bisnes, podcast dan ‘stand up comedy’ sendiri, rasa kagum lihat mereka berjuang tetapi itu sahaja cara supaya nama tak hilang.

“Buat masa sekarang, kami tak boleh nak tunggu tawaran stesen televisyen semata-mata, memang perlu usaha dan bergerak sendiri, itu sahaja jalan yang ada,” jelasnya.

FAD bersama rakan-rakan pelawak, Shariff Zero, Epul, Danila Zaini dan Talam akan memeriahkan Havoc Raya Fest 2.0 di Shah Alam bermula 12 Mac nanti.

Fad yang boleh dikatakan senior dalam dunia lawak tanah air menitipkan pesanan kepada mana-mana individu mempertimbangkan keputusan sekiranya mahu melangkah ke pentas komedi

“Bila ada pendatang baharu tanya macam mana nak jadi pelawak, saya pesan jangan.

Saya cakap tak payahlah, belajar pandai-pandai, cari kerja yang menjamin masa depan sebab peredaran zaman, kita tak tahu bila-bila sahaja boleh berakhir.

“Dunia anak seni ini sekelip mata saja boleh terhenti,” tegasnya.

Dalam perkembangan lain, Fad bersyukur kerana dibeli peluang menjadi pengacara bagi acara Selangor Havoc Raya Fest 2.0 bersama Sharif Zero, Danial Zaini, Epul dan Talam pada Mac tahun depan.

“Saya lihat Havoc adalah platform terbaik untuk kami ketika ini, dapat terus serlahkan bakat, bertemu dan berinteraksi dengan orang ramai.

Ini satu inisiatif yang sangat baik, terharu juga sebab ramai masih percayakan pelawak, nak tunggu kami muncul dalam televisyen, memang payah. Kalau ada pertandingan, barulah dapat lihat kami,” ujarnya lagi.

Selangor Havoc Raya Fest 2.0 bakal diadakan di Setia City Convention Centre (SCCC), Setia Alam bermula 12 hingga 16 Mac yang akan menghimpunkan ratusan produk usahawan tempatan termasuk golongan selebriti. -HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok