HILANG sahabat baik zaman sekolah, pelakon Datuk Den Wahab sayu melihat Allahyarham Isma Aliff menjalani kehidupan bersendirian sehingga ke akhir hayatnya.
Den atau nama sebenarnya Datuk Zaharudin Abdul Wahab, 63, mendedahkan aktor, penyanyi dan pelawak itu enggan menunjukkan kesedihan atau meminta bantuan walau dalam kesulitan sejak mengenalinya di tingkatan lima.
“Kami sekolah sama di SMK Seri Ampang. Saya tingkatan lima, Isma tingkatan empat seterusnya semakin rapat sejak terbabit dengan siri komedi Gado Gado sampai sekarang.
Karakternya memang sentiasa ‘happy go lucky’ sejak dulu hinggakan kita tak tahu apa dalam hatinya biarpun selepas diserang strok dan kemudian tetap menjaga ibunya yang terlantar waktu dirinya lumpuh separuh badan.
“Pengorbanan arwah terlalu besar. Malah selepas ibunya meninggal dunia, dia hidup bersendirian. Beliau reda, tetapi sebagai rakan yang mahu membantu dia cakap tak mahu menyusahkan orang lain. Katanya, semua dia boleh buat sendiri, makan apa yang ada,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, semalam.
Pada masa sama, ahli perniagaan terbabit mengakui pernah menyuarakan kebimbangan kepada Isma yang tinggal sendirian di kediaman dua tingkat itu tanpa teman.
Begitupun, tambah Den rakan seperjuangannya itu meminta agar jangan risau memandangkan dia tetap dijengah adiknya, Shamsidah Ismail, jiran serta rakan artis lain terutama Ebby Saiful.
Mengimbau kehidupan arwah, Den berkata, Isma menjaga ibunya, Maimon Tamby sehingga wanita itu meninggal dunia pada 2 September 2024.
“Isma tinggal di rumahnya di Kampung Melayu Ampang dan menjaga ibunya yang terlantar sakit.
Saya akui terharu melihat ketabahannya, malah ketika kami datang menziarah beberapa bulan lalu, katil ibunya masih ada bersebelahan katilnya. Sekarang Isma pula menyusul. Apa pun beliau lunaskan tanggungjawab menjaga syurganya dengan baik,” ujarnya.
Sementara itu, dramatis senior, Rahim Jailani, 66, turut menzahirkan perasaan kagum terhadap layanan Isma menjaga ibunya walaupun dalam keadaan dirinya kurang sihat, sekali gus menjadi contoh kepada orang lain.
“Saya mendoakan agar Allah menempatkannya di syurga atas jasa serta pengorbanan dilakukan untuk bonda tercinta sehingga arwah menghembuskan nafas terakhir.
Inilah pengorbanan seorang anak kepada insan melahirkan yang mungkin tidak ramai dapat menunaikannya lebih-lebih lagi dalam keadaan dirinya yang sukar bergerak akibat serangan angin ahmar.
“Saya kagum dengan bakti dicurahkan, malah sebagai rakan seperjuangan saya juga melihatnya sebagai individu periang. Sebaik Isma muncul didepan mata, suasana sesebuah acara bertukar ceria dan ‘hidup’. Itulah sisi unik Isma Aliff,” ujarnya.
Allahyarham Isma dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana pada pukul 6.20 petang petang semalam. – HIBGLAM
