BERANG menerima komen lucah, pelakon Zara Zya bertindak mendedahkan wajah lelaki itu dalam satu hantara Instagram hari ini.
Pemilik nama Zainurul Razia Mohd Zainuddin itu berkata, dia bukan seorang yang suka membalas komen netizen dan cenderung mengabaikan pelbagai bentuk kecaman yang dilemparkan kepadanya sebelum ini.
“Kadang-kadang penat nak baca komen sebab saya nak jaga kesihatan mental. Banyak komen yang saya dapat, positif dan mampu buat saya tersenyum.
Adakalanya saya terpanggil untuk balas, supaya si pemberi komen juga gembira bila mendapat balasan daripada saya.
“Tapi dalam pada itu, macam-macam kejian, gurauan kasar, kutuk wajah, status bujang, kesihatan saya dan macam-macam lagi,” katanya.
Menurut Zara, komen ditulis lelaki terbabit adalah yang paling biadab pernah diterimanya.
Menerusi perkongsian tersebut, dia memuat naik wajah dan tangkap layar komen lelaki terbabit yang mengajaknya melakukan persetubuhan.
Kata-kata ini antara paling kurang ajar setakat ini saya baca. Secara terbuka kamu komen begini.
“Kasihan pada diri kamu dan keluarga kamu,” jelasnya.
Rata-rata netizen memintanya melaporkan individu terbabit ke pihak berkuasa agar dapat memberi kesedaran dan perkara sama tidak berulang lagi.
Sebelum ini, Zara juga pernah menerima komen negatif netizen mengenai penyakit kanser buah pinggang yang dihidapinya. – HIBGLAM
