BENARLAH rezeki tidak pernah salah alamat, nama yang sebelum ini sepi boleh meledak secara tiba-tiba. Begitulah gambaran kanvas seni aktor Que Haidar sejak pertengahan tahun lalu sehingga hari ini.
Merangkumkan perjalanan kariernya tahun lalu sehingga kini, pemilik nama penuh Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar itu menyifatkan semua yang diraih sebagai aturan terbaik daripada Tuhan.
“Sebenarnya selepas saya menang trofi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Drama dalam Anugerah Seri Angkasa 2024, memang terus terfikir untuk buat ‘comeback’.
Namun banyak benda bermain dalam kepala, termasuk adakah orang industri dan masyarakat nak tengok saya lagi.
“Tetapi saya cuba buang semua itu dan berpegang pada bakat yang ada, kemudian Allah SWT permudahkan sehingga ada tawaran lakonan mula masuk pada Januari 2025,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.
Sambung bapa kepada dua cahaya mata itu, dalam tempoh tersebut dia turut menerima beberapa tawaran filem yang menuntutnya menurunkan berat badan dan bertubuh sasa.
Impian untuk terlibat dalam dua filem tersebut bagaimanapun tidak kesampaian.
Tahun lalu patutnya saya bintangi dua filem tetapi tak jadi sedangkan sudah kuruskan badan dalam tempoh dua bulan seperti yang diminta. Berat saya ketika itu 58 kilogram.
“Di situ, saya mula rasa penat nak dengar cakap orang dan biar orang aturkan hidup saya.
Saya pergi warnakan rambut dan tiba-tiba meletup dalam media sosial sebelum saya buat konten TikTok lagu Jamilah pada pukul 1 pagi dan sekali lagi ‘boom!’
“Dari situ saya nampak, cantik aturan Tuhan. Saya percaya dengan kuasa-Nya, kalau tak jadi jangan nak kecewa sangat. Tahun lalu memang sangat hebat,” katanya yang kini muncul dalam drama rantaian, Pak Su Ammara.

Menerusi Pak Su Ammara, Que melunaskan impiannya untuk bergandingan dengan Ummi Nazeera yang disifatkan antara aktres terbaik negara.
Kembali ke dunia drama selepas 16 tahun berehat di lapangan tersebut, Que berkata, Pak Su Ammara berjaya menambat hatinya kerana watak yang digalas kali ini berbeza dengan naskhah lain.
Dalam drama ini, boleh dikatakan saya hero tetapi kualitinya berbeza dengan drama lain yang selalunya tunjuk sangat berkuasa atau seperti ‘superhero’.
“Selain itu, saya terima tawaran ini sebab tak pernah bekerjasama dengan syarikat produksi Global Station Sdn. Bhd. dan barisan pelakonnya ‘power’.
“Kekok tidaklah sangat tetapi awal-awal saya sudah pesan kepada semua yang terlibat agar selalu berbincang dengan saya sebab mereka lebih pakar tentang drama episod panjang,” ujar pelakon berusia 46 tahun itu.
Katanya yang terkenal dengan watak Amy Mat Piah menerusi filem Rock Ooo, membintangi naskhah lebih 15 episod pertama kali dilakukannya sejak bergelar anak seni.
“Drama episod permainannya lain kalau nak dibandingkan dengan filem atau telefilem.
Pada awalnya, ketika baca skrip, rasa mencabar betul kena buat drama 20 episod sebab ini pertama kali saya terlibat drama panjang.
“Persediaan untuk drama ini, saya selalu ingatkan diri agar cukup tidur, rehat dan ambil minuman yang boleh menaikkan mood tenang,” jelasnya.
Berdebar
Julung kali bergandingan dengan Ummi Nazeera, Syazwan Zulkifly dan Mia Nasir, Que bersyukur mereka banyak membantu serta memberi hasil kerja yang hebat.
Kalau nak tahu, Ummi adalah salah seorang pelakon wanita terbaik yang memang saya nak bekerjasama, ada dalam ‘wishlist’.
“Dia bagus sebab suka bincang dan tidak kedekut berkongsi pengalaman bekerja dalam produksi banyak episod. Seronok dan satu pengalaman hebat untuk saya,” ujarnya.
Sering memberi hasil kerja memukau, dia mengakui berdebar dengan jangkaan tinggi yang diletakkan peminat terhadap lakonannya untuk drama Pak Su Ammara.
“Jujur rasa risau memang ada tetapi saya sudah cuba beri hasil terbaik, selebihnya serahkan semuanya kepada Allah SWT.
Jangan fikir banyak sebab nanti hidup tak tenang. Hadapi sahaja semuanya, jangan serabutkan fikiran tetapi kerja perlu dilakukan dengan baik supaya diri sendiri dan orang lain tak kecewa,” tuturnya.
Ditanya sama ada drama tersebut antara rezeki selepas namanya kembali viral, Que berkata, tawaran menjayakan Pak Su Ammara diterimanya sebelum ledakan ‘Jamilah’.
“Sebenarnya mereka tawarkan kepada saya sebelum ‘Jamilah’ tular.
“Jadi, video itu ibarat ‘booster’ dan penyumbang untuk meledakkan produk lain,” kongsinya yang memasang impian membintangi filem perang satu hari nanti.
Drama Pak Su Ammara mengangkat kisah seorang guru prasekolah bernama Hamiza lakonan Ummi Nazeera yang terperangkap dalam perkahwinan toksik. Hamiza meninggalkan perkahwinan toksiknya dalam keadaan diri sedang hamil.
Ketika mengharungi hidup sebagai ibu tunggal, Hamiza berkenalan dengan bapa saudara salah seorang pelajarnya, Ammara Rose iaitu Firdaus atau Pak Su (Que).
Drama 20 episod yang dinanti ramai itu bersiaran setiap Isnin hingga Khamis bermula 5 Januari lalu dalam slot Mega Drama, Astro Ria pukul 10 malam. – HIBGLAM
