Isma Aliff selamat dikebumikan
JENAZAH Allahyarham Isma Aliff atau nama sebenarnya, Muhammad Latiff Ismail, 62, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, pukul 6.20 petang tadi.
Pengebumian pelakon, penyanyi, pelawak dan hos terkenal era 1980-an itu berjalan lancar dengan dihadiri sekitar 50 ahli keluarga, kenalan serta rakan yang mengiringi jenazah bagi memberi penghormatan terakhir.
Antara rakan artis yang hadir termasuk di Masjid Jamiul Huda Ampang iaitu lokasi jenazah diurus dan disolatkan selepas solat Asar ialah Datuk Den Wahab, Datuk Razak Ahmad, Datuk Ahmad Tarmimi Siregar serta Rahim Jailani.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Kampung Melayu Ampang pada jam 8 pagi tadi selepas berdepan komplikasi strok sejak dua tahun lalu akibat angin ahmar.
Beliau yang pernah dimasukkan ke Hospital Ampang pada 15 Disember 2023 ditidurkan selepas dikesan mengalami jangkitan pada jantung dan paru-paru.
Allahyarham meninggalkan seorang balu, Norha Rafie serta dua anak berusia lingkungan 30-an, iaitu Norismalina dan Muhammad Aliff. – HIBGLAM
