‘Laman web Rembayung ‘crash’ mungkin sebab saya’

TERKENA tempias fenomena Rembayung milik usahawan Khairul Aming atau KA, pelakon Kamal Adli mendedahkan berdepan nasib sama seperti kebanyakan netizen apabila cubaan membuat tempahan tidak berhasil.

Kamal atau nama lengkapnya, Ahmad Kamal Ahmad Adli, 39, secara berseloroh memaklumkan laman web restoran yang baru dibuka itu berkemungkinan besar tergendala disebabkan dirinya.

Saya nak ingatkan wahai rakyatku, bukan saya yang buka Rembayung tu. Saya pun cuba booking (tempah), sampai crash (tergendala) website mungkin sebab saya.

“Jangan tempah dengan saya. Kalau dengan saya kalian dapat Budin briyani saja. Rakyat ku, jangan sampai abang joget,” katanya dalam hantaran di laman sosial.

Sebelum ini, ketika kemelut awal rumah tangganya dengan Uqasha Senrose, Kamal juga diberikan gelaran KA untuk singkatan namanya.

Begitupun, dia secara terbuka menyatakan kesediaan melepaskan singkatan gelaran KA kepada pempengaruh popular Khairul Aming yang dianggap lebih layak menerimanya.

Terdahulu, Khairul Aming memohon maaf atas gangguan sistem tempahan restoran Rembayung mengalami ‘crash’ akibat trafik terlalu tinggi disebabkan ramai ingin mencuba restoran pertamanya.

Menerusi perkongsian, sebanyak 3,000 tempahan diterima pada sesi pertama slot dibuka untuk menikmati juadah di restoran yang berada di Kampung Baru itu.

Difahamkan, dalam tempoh 15 minit, 400 tempahan diterima dan akaun Instagram Rembayung pula mencapai 100,000 pengikut dalam dua jam selepas dilancarkan.

Restoran bernilai RM4 juta itu memulakan operasi pertamanya hari ini. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok