‘Jaga sensitiviti pendengar, kalau tak selesa ada benda tak kena’ 

SUSULAN kontroversi lirik lagu Masuk Lagi nyanyian Baby Shima yang didakwa berunsur lucah, komposer dan penyanyi Amylea Azizan menegaskan penghasilan sesebuah karya perlu mengikut prinsip tata susila selain menjaga sensitiviti pendengar.

Tambah Amylea, 39, setiap karya merupakan amanah besar kepada seseorang penggiat seni sekali gus lagu yang tidak senonoh akan terus kekal dan menjadi sebutan meskipun penciptanya meninggal dunia.

“Bagi saya apabila ada bakat, awak ada satu tanggungjawab yang bukan untuk masyarakat atau sosial sahaja, bahkan dari segi agama dan pendirian.

Hati-hati! Lagu yang kita buat hari ini akan bertahan walaupun selepas kita mati. Contohnya, kalau saya buat lagu hari ini, nauzubillah kalau tersalah dekat mana-mana, saya minta maaf tapi saya dah tiada, lagu tetap ada,” katanya kepada HibGlam, semalam.

Pada masa sama, pelantun lagu Tak Pernah Hilang itu menegaskan soal salah atau betul bukan terletak pada niat pencipta lagu, sebaliknya perlu mengambil kira persepsi serta keselesaan pendengar.

“Saya tak boleh nak cakap salah atau betul buat lagu macam mana. Awak boleh cakap tak maksudkan begitu (lucah) tapi kalau semua orang rasa benda sama?

Ibarat awak pakai baju yang dah rasa okey tetapi datang majlis semua orang tak selesa dengan baju awak, kita tak boleh cakap ‘kau tak boleh rasa begitu sebab baju ini okey bagi aku’.

“Kita kena hormat, jaga sensitiviti pendengar sekiranya benda itu boleh menimbulkan rasa tidak selesa. Saya tak selesa, awak boleh nyanyi tak depan mak ayah awak?

“Kalau tak selesa, ada benda tak kena. Contoh kalau saya tulis lagu ini, saya rasa ‘alamak, kalau mak aku dengar’. Ini bukan apa orang cakap tetapi sebab tak sesuai,” ujarnya.

Amylea turut berpandangan walaupun terdapat pengaruh budaya luar, sebagai masyarakat Melayu Islam kita perlu menjaga batas.

Orang Barat ada cara mereka tersendiri, di mana saya sendiri tak minat nak nyanyikan lagu yang mempunyai perkataan lucah.

“Saya rasa sebagai Melayu Muslim, kita tidak sampai ke tahap itu. Bukan budaya kita dan ada batasnya,” kongsinya lagi.

Sebelum ini, lagu ciptaan Eddie Hashim itu mencetuskan reaksi kurang senang dalam kalangan netizen apabila liriknya didakwa mengandungi unsur lucah. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok