‘Enggan ulang watak, cerita sama, takut hilang motivasi’

TIDAK pernah gagal menjayakan karakter beremosi berat, pelakon Ummi Nazeera mengambil pendekatan lebih selektif sebelum menerima sebarang tawaran watak air mata demi mencuba karakter berbeza yang lebih mencabar kemampuan lakonannya.

Menurut Ummi, 35, pertimbangan tersebut dilakukan kerana ingin keluar dari zon selesa dan kepompong stereotaip sebagai pelakon air mata yang diberikannya sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Tahun ini saya akan berlakon filem seram yang agak berat kerana melibatkan banyak babak aksi. Sekarang bukan menolak sebarang tawaran tapi masih mempertimbangkan setiap tawaran.

Sebagai anak seni, saya kena sentiasa mencabar kemampuan diri, pelakon perlu ada api dalam diri untuk beri kelainan. Contohnya, walaupun saya ini penakut, tapi saya tetap berlakon filem seram.

“Kalau boleh saya tak mahu berulang kali melakonkan watak atau jalan cerita yang sama, takut hilang motivasi,” katanya kepada HibGlam ketika ditemui di set penggambaran drama bersiri Pak Su Ammara baru-baru ini.

Kongsinya, filem seram yang bakal dibintangi tersebut sarat dengan babak aksi sekali gus membawanya keluar dari zon selesa sebagai pelakon.

“Sudah lama saya tak buat naskhah yang banyak aksi, kali terakhir filem Penanggal pada 2013.

Peminat minta saya cuba watak yang lain. Mereka mahu melihat kemampuan saya dalam membawakan watak berbeza.

“Jadi saya terpanggil untuk pecahkan stereotaip itu,” katanya lagi.

Ditanya sama ada selesa dirinya digelar pelakon air mata, dia tidak mempunyai masalah dengan perkara tersebut dan berterima kasih kepada orang ramai kerana menghargai kemampuannya melakonkan watak sebegitu.

Saya okey dan tidak ada masalah orang gelar begitu tetapi untuk pastikan tidak terlalu selesa, sebab itu saya terima tawaran filem seram tersebut.

“Apa pun saya terima sahaja apa-apa gelaran yang positif,” ujarnya.

Mengulas tentang Pak Su Ammara, ibu kepada dua cahaya mata itu gembira kerana akhirnya berpeluang bekerjasama dengan aktor Que Haidar yang memegang peranan utama dalam drama tersebut.

“Que pelakon yang hebat dan banyak membantu. Saya belajar banyak perkara tentang lakonan darinya.

Saya tak pernah terfikir yang kami akan bergandingan untuk sebuah drama sebab dia pun sudah lama berehat dan jarang muncul dalam drama episod.

“Saya tak nafikan memang ada rasa gemuruh apabila Que memaklumkan dia juga sudah lama mahu bekerja dengan saya tetapi dia pelakon hebat dan berbakat besar,” jelasnya.

Pak Su Ammara yang turut dibintangi Syazwan Zulkifly, Mia Nasir dan Hanna Aqeela ditayangkan bermula semalam menerusi slot Mega Drama saluran Astro Ria. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok