‘Awak yang terindah’ – Ucapan romantis Erra buat suami

MENUNAIKAN umrah bersama-sama, pelakon dan penyanyi, Erra Fazira mengambil peluang meraikan ulang tahun suaminya, Ezwan Zain di Mekah.

Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chek, 51, menghadiahkan kejutan dengan sebiji kek bertulis Sanah Helwah Ezwan Zain sambil menyanyikan lagu selamat hari lahir buat usahawan itu.

“Alhamdulillah dapat meraikan hari kelahiranmu di Tanah Suci. Kedamaian di setiap penjuru menjadikan momen ini lebih sempurna.

“Semoga awak sentiasa menjadi yang terindah hingga ke nafas terakhir. Selamat ulang tahun suamiku,” katanya.

Primadona Alaf Melayu Baharu yang mengerjakan umrah bersama suaminya itu pada 2 Januari lalu memuat naik video sambutan kecil-kecilan tersebut dalam Instagramnya.

Sementara itu, menerusi hantaran di Insta Story, Ezwan atau mesra disapa Mr. E menyifatkan kejutan diterima sebagai hadiah hari jadi paling bermakna.

“Terima kasih isteri tersayang kerana memberikan hadiah paling bermakna. Menyambut ulang tahun di Tanah Suci dan berpeluang mengerjakan umrah bersama.

“Syukur dan terima kasih semua atas ucapan dan doa daripada semua. Semoga kita sentiasa dilimpahi kebahagiaan dunia dan akhirat,” ujarnya.

Pasangan terbabit bergelar suami isteri pada 12 Disember tahun lalu selepas lebih setahun menjalin hubungan. – HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok