HASRAT kumpulan Freshies untuk meneruskan cabaran ke pentas separuh akhir Gegar Vaganza musim ke-12 (GV12) berkubur apabila diumumkan tersingkir pada konsert suku akhir yang berlangsung di Dewan Auditorium MBSA, di sini, malam tadi.
Pada konsert bertemakan Kengkawan menampilkan lagu pilihan peserta lain, Freshies mempertaruhkan Teman Tapi Mesra dendangan asal Ratu, namun persembahan tersebut gagal mencuri hati barisan juri.
Nyanyian trio itu sekadar mengutip markah 56.75 peratus, sekali gus meletakkan mereka di kedudukan tercorot dan tersingkir daripada persaingan.
“Tema malam ini menuntut keserasian tinggi serta emosi tepat. Malangnya, persembahan Freshies kurang menyengat,” ujar juri tetap, Datuk Ramli MS.
Penyingkiran Freshies membuka laluan kepada tujuh peserta lain mara ke pentas separuh akhir yang bakal berlangsung minggu hadapan.
Pada konsert minggu kesembilan itu, trio Mendua tampil sebagai bintang malam apabila menduduki tempat pertama sekali gus merangkul Anugerah Adabi Ada Beats.
Nubhan pula mengukuhkan kedudukan di tempat kedua, manakala Mark Adam cemerlang berada di tangga ketiga.
Kesemua peserta diadili oleh tiga juri tetap iaitu Ramli, Hetty Koes Endang serta Datuk Syafinaz.
Minggu hadapan, cabaran semakin sengit apabila setiap peserta perlu menyempurnakan dua tugasan melibatkan lagu bertemakan antarabangsa serta medley lagu Nusantara.
Seramai lapan peserta masih kekal dalam persaingan merebut gelaran juara GV12 iaitu Nubhan, Mark Adam, Iskandar Ismail, Ruri Republik, Mendua, Mell Sakura dan Shae.
Konsert GV12 dihoskan gandingan pengacara popular, Nabil Ahmad dan Sherry Alhadad. – HIBGLAM
