Tak kejar nombor satu, masuk AJL itu satu bonus – Kaka Azraff

BUAT julung kalinya selepas 16 tahun berada dalam industri muzik tanah air, penyanyi Kaka Azraff akhirnya melahirkan sebuah album penuh berjudul MPT.

Album yang diambil daripada perkataan empati itu menjadi simbol kematangan, kejujuran dan keberanian Kaka, 36, berkongsi kisah hidup yang paling peribadi sepanjang hampir dua dekad bergelar anak seni.

Menurut Kaka, MPT merupakan hasil pengalaman kehidupan peribadinya dan juga inspirasi daripada orang sekelilingnya.

“Album ini sebenarnya sudah saya tunggu sejak hari pertama melangkah ke industri. Saya sendiri tidak ada jawapan kenapa saya mengambil masa begitu lama untuk menghasilkan sebuah album.

“Namun, bagi saya ini adalah waktu yang tepat kerana selepas apa yang saya lalui cerita yang saya kongsi menerusi lagu terasa lebih hidup dan ‘real’. Semua yang dipersembahkan lahir daripada kejujuran,” katanya.

Album yang memuatkan tujuh buah lagu baharu iaitu Berubah, Cabar, Arguments, Bully, Takleh Usik, Aku dan MPT membawa naratif tersendiri yang dekat dengan realiti kehidupan.

Fokus utama bukan pada kesempurnaan teknikal, sebaliknya pada emosi tulen yang ingin disampaikan kepada pendengar.

Berkongsi lanjut, Kaka menjelaskan proses penghasilan album mengambil masa hampir dua tahun kerana mahu kualiti terbaik.

“Apa yang saya tulis dan nyanyikan dalam album ini datang terus dari hati saya sendiri. 

“Jika pendengar rasa dekat dengan lagu saya, itu bermakna semua ini bukan rekaan, tetapi pengalaman sebenar.

“Dalam banyak lagu paling sukar adalah ketika menghasilkan lagu Berubah. Lagu itu ditulis berdasarkan inspirasi orang sekeliling dan saya sendiri sedang melalui  episod pengalaman hidup sukar ketika itu,” katanya. 

AJL 

Dalam pembikinan album ini, Kaka turut bekerjasama rapat dengan dua penerbit, SonaOne dan Yonnyboii, menghasilkan susunan muzik yang seimbang dan selari dengan emosi setiap lagu. 

KAKA terlibat sepenuhnya dalam penulisan kesemua lagu, sekali gus menjadikan MPT karya yang benar-benar mencerminkan dirinya.

Menegaskan bahawa MPT bukan kemunculan semula, Kaka melihat album ini sebagai kesinambungan dalam perjalanan seninya.

“Jika dapat masuk Anugerah Juara Lagu (AJL) itu bonus. Niat saya hanya untuk berkongsi dan menunjukkan siapa Kaka yang sebenar. 

“Saya tidak kejar untuk menjadi nombor satu di radio, tapi saya mahu pendengar yang organik,” ujarnya.

Kaka ditemui pada sesi sesi Showcase majlis pradengar bersama peminat, pihak media serta rakan industri bagi meraikan pelancaran album sulungnya di Kafe Bijou, Ara Damansara, Selangor baru-baru ini.

Album MPT dihasilkan dengan sokongan Dana Kandungan Kreatif (DKK) daripada Kementerian Komunikasi melalui MyCreative Ventures serta diedarkan oleh Universal Music Malaysia serta dijadualkan akan dilancarkan pada penghujung Januari 2026.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok