Rizman Ruzaini diarah bayar Intan Najuwa RM1.3 juta sebelum 15 Januari

PELAKON Datin Intan Najuwa akhirnya memberi kenyataan berhubung kes saman sivil difailkan suaminya, Datuk Ahmad Azraf Azman terhadap pereka fesyen, Rizman Nordin dan Wan Mohd. Ruzaini Wan Jamil mewakili syarikat mereka, Rizman Ruzaini Creations (M) Sdn. Bhd.

Menerusi dokumen bertarikh 16 Disember lalu, pihak mahkamah menetapkan jumlah pembayaran RM1.3 juta yang perlu diselesaikan oleh defendan sebelum 15 Januari 2026.

Menurut Intan, 29, atau nama sebenarnya, Intan Najuwa Abdul Wahid, keputusan mahkamah telah memihak kepada mereka dan pihak defendan kini diperintahkan melunaskan semula pinjaman tersebut pada tarikh yang ditetapkan.

Setelah hampir tiga tahun memilih untuk berdiam diri, suami dan saya kini tampil secara terbuka berdasarkan keputusan mahkamah yang telah diputuskan,” katanya dalam satu hantaran di Instagram.

Tambah bintang drama Kekasih Paksa Rela itu, kenyataan dibuat khusus kepada pihak Rizman Ruzaini tanpa melibatkan mana-mana pihak atau pereka fesyen lain.

“Kenyataan ini dibuat secara berfakta dan berhemah, selaras dengan keputusan undang-undang yang sah, selepas kami memilih untuk menunggu dan menghormati proses perundangan sepenuhnya,” ujarnya.

Sebelum ini, pereka fesyen Rizman Ruzaini enggan memberi sebarang komen apabila dikaitkan sebagai pihak yang berhutang dengan pelakon itu.

Salah seorang pengasas jenama tersebut, Rizman menganggap perkara itu biasa apabila nama mereka menjadi sebutan dalam isu berkaitan.

Menurut Intan, individu berkenaan pada awalnya merayu bantuan kewangan dengan pelbagai janji, namun dikatakan mula mengelak apabila tiba masa untuk melunaskan hutang.

Susulan kenyataan itu, nama jenama fesyen Rizman Ruzaini mula dikaitkan oleh netizen sebagai pihak yang dimaksudkan oleh Intan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok