Masih indie, Romantic Echoes ke Malaysia 6 Februari depan

MEMILIKI aura tersendiri sehingga pendengar khayal dibuai ilusi, penyanyi indie popular Indonesia, Romantic Echoes bakal merealisasikan konsert solo pertama di Malaysia.

Pernah bertandang dalam beberapa festival muzik di Kuala Lumpur, kunjungan pada 6 Februari nanti tentu lebih bermakna apabila peminat bakal disajikan deretan seleksi hits pemilik nama lengkap Jack Alfredo itu sepanjang dua jam. 

Bagi peminat tegar, menyaksikan serta mendengar katalog dendangan seperti persembahan Dari Masa Lalu, Paradisa, Amarah, Gaung Asmara dan Yang Kau Hindari Terjadi secara ‘live’ sudah tentu satu kepuasan.

Permintaan ramai

Jurucakap penganjur merangkap pengurus projek, Azreel Azhar berkata, penganjuran konsert Dentum: The First Romantic Echoes Showcase Live In Malaysia adalah atas permintaan ramai.

Akuinya, impak kemunculan Romantic Echoes pada Nyala Fest akhir November tahun lalu mencetuskan ilham untuk membawakan kumpulan terbabit ke Zepp Kuala Lumpur.

“Kami nampak Romantic Echoes mempunyai kelompok penggemar tegar yang ramai di negara ini, sekali gus menggandakan lagi hasrat untuk bekerjasama.

“Ini juga menjadi pemangkin kepada Neptunes Presents untuk menganjurkan persembahan solo pertama bersama pemuzik pengiring di Malaysia bagi memenuhi permintaan peminat tempatan,” katanya.

Konsert berkenaan turut menampilkan band tempatan, Midnight Fusic sebagai artis jemputan yang akan membuka tirai persembahan.

Menurut Azreel lagi, penganjur kini giat membuat persiapan bagi memastikan konsert berkenaan tampil dengan kelainan termasuk mempunyai elemen kejutan.

“Persediaan rapi sedang rancak, malah pasukan Romantic Echoes juga tidak sabar untuk kembali lagi ke negara ini bertemu penyokong setia.

“Pada konsert itu nanti Romantic Echoes dijangka menyampaikan 18 lagu daripada empat album termasuk beberapa seleksi yang belum pernah dipersembahkan sebelum ini.

“Kami yakin penonton akan pulang dengan perasaan gembira selain menyimpan kenangan romantis terindah bersama penghibur pujaan,” katanya.

Antara seleksi popular adalah Persembahan Dari Masa Lalu, Paradisa, Amarah, Gaung Asmara dan Yang Kau Hindari Terjadi.

Kejutan

Tambah Azreel, persembahan solo pertama Romantic Echoes nanti bakal menampilkan konsep berbeza sebagai penghargaan kepada peminat setia yang dikenali sebagai Divisi Romantis.

“Konsert ini diharap menjadi momen yang meninggalkan kenangan manis dan romantis buat peminat kerana Zepp Kuala Lumpur merupakan lokasi yang dekat dan mesra dengan penonton tempatan,” katanya.

Sebelum ini, Romantic Echoes pernah mengadakan beberapa persembahan bersama pemuzik tempatan serta muncul dalam festival muzik seperti Nyala Fest 2024 dan Sound Circus anjuran Art of Speed.

Tiket konsert mula dijual kepada umum bermula 30 Disember 2025  menerusi platform Ticket Empire di www.myticketempire.com.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok