Kanser tahap 4, Helmi Gimmick buang ginjal kiri Khamis ini

PENGACARA dan penghibur versatil Helmi Gimmick bakal menjalani pembedahan membuang buah pinggang kirinya pada Khamis ini di Hospital Sultan Abdul Aziz Shah, Serdang susulan kanser tahap empat.

Menurut Helmi atau nama sebenarnya, Helmi Harun, 65, penyakit kanser ginjal sudah dikenal pasti sejak September tahun lalu namun pembedahan ditangguh kerana jadual kerja yang padat.

“Sebenarnya saya buat ‘check-up’ pada awal September tahun lalu dan sudah lakukan pemeriksaan pengimejan resonans magnet (MRI) serta X-ray, memang doktor pakar sahkan saya ada kanser buah pinggang.

Tapi saya degil dan nak juga selesaikan kerja dulu. Sehinggalah Disember lalu, saya mengalami kencing berdarah ketika menjayakan sebuah acara.

“Disebabkan itu, isteri bawa saya ke hospital berdekatan untuk pemeriksaan sebelum doktor minta buat pembedahan segera,” katanya.

Dia juga perlu menjalani beberapa rawatan awal bagi menghentikan pendarahan sebelum pembedahan dijalankan.

Helmi memaklumkan doktormenasihatinya supaya berehat sekurang-kurangnya tiga bulan daripada sebarang aktiviti persembahan untuk  proses pemulihan selepas pembedahan.

Bila saya masuk sana, doktor cakap sudah kritikal. Ini bukan ‘check-up’ tetapi ini perlu dibedah sebab kencing berdarah.

“Akhirnya saya ke Hospital Sultan Abdul Aziz Shah untuk jalani pembedahan buang buah pinggang kiri pada Khamis ini,” katanya lagi.

Terdahulu, pengarah Jurey Latiff turut berkesempatan menziarahi Helmi yang diuji dengan kanser buah pinggang tahap empat semalam.

Jurey meminta orang ramai mendokan prosedur yang bakal dilalui Helmi dipermudahkan serta berharap sahabatnya itu kembali pulih sepenuhnya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok