‘Ada perkataan Melayu susah sebut sejak dulu’

SEBUTAN dalam nyanyian ditegur masih pelat, penyanyi Mark Adam mengakui setiap minggu berusaha keras memperbaiki penguasaan lagu-lagu berbahasa Melayu meskipun sudah lebih dua dekad menetap di Malaysia.

Ujar Mark atau nama sebenarnya Fikri Mark Adam Abdullah, 47, terdapat beberapa perkataan bahasa Melayu sangat mencabar untuk disebut dengan sempurna, namun perkara tersebut tidak pernah mematahkan semangatnya untuk terus belajar.

“Lagu minggu ini masih baharu untuk saya. Ditambah rasa gementar serta sorakan penonton, mungkin semua itu mempengaruhi persembahan.

Walau apa pun, saya tetap cuba beri yang terbaik. Tapi saya tidak nafikan memang ada perkataan memang susah disebut sejak dulu lagi,” katanya kepada HibGlam.

Tambah penyanyi asal Filipina itu, setiap tugasan diterima akan dikaji secara terperinci termasuk meneliti sebutan dan maksud lirik, namun faktor usia turut memberi kesan terhadap daya ingatan.

“Setiap minggu saya akan belajar lirik satu per satu.

Apabila umur makin meningkat, hafalan jadi sedikit mencabar. Saya perlu ingat lirik, fikirkan persembahan dan dalam masa sama mengawal debaran di pentas besar,” ujarnya usai tamat konsert minggu suku akhir, malam tadi.

Pada konsert suku akhir Gegar Vaganza musim ke-12 (GV12), barisan juri memuji persembahan Mark, namun turut menegur sebutan beberapa perkataan masih kurang tepat.

Mengulas perkara itu, pelantun lagu Marry Me itu mengakui berpuas hati dengan persembahan malam tersebut meskipun berdepan masalah kesihatan sejak minggu sebelumnya.

Saya sebenarnya batuk dan demam sejak minggu lalu, malah makin teruk ketika sesi latihan.

“Setiap kali capai nota tinggi, batuk datang, tapi malam ini saya tahan supaya nyanyian kedengaran lebih baik,” luahnya.

Ditanya tentang gelaran bakal juara yang sering dikaitkan dengannya, Mark berkata, penyertaan dalam GV12 lebih didorong keinginan mendekati peminat baharu.

“Apabila sertai Gegar Vaganza, saya dapat sokongan daripada peminat baharu, itu perkara paling saya hargai.

Melihat sokongan itu, saya tidak mahu sia-siakan. Insya-Allah, saya harap dapat berada di kedudukan tertinggi,” luahnya.

Pada konsert suku akhir, Mark menyampaikan lagu Mengapa Perpisahan Kau Pinta nyanyian asal Flybaits dan berjaya menduduki tempat ketiga dengan markah 67.75 peratus. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok