Tak perlu ‘double meaning’, ini Malaysia, bukan Indonesia – Haiza

 “Dia seorang sahaja yang begitu.”

Demikian tegas penyanyi Haiza yang berharap masyarakat tidak pukul rata semua penyanyi dangdut sanggup menyanyikan lagu murahan atau ‘double meaning’ gara-gara kontroversi lirik lagu Baby Shima berjudul Masuk Lagi.

Lirik lagu Masuk Lagi itu menimbulkan kontroversi dan perdebatan dalam kalangan netizen kerana didakwa mengandungi unsur lucah.

“Inilah yang saya kata kita penyanyi dangdut, kalau seorang buat hal, semua sekali terpalit. Mungkin pada umurnya, dia fikir sesuai untuk menyanyikan lagu sebegitu.

“Tetapi sebagai penyanyi yang berjumpa dengan ramai orang, mungkin lagu itu didengari oleh pelbagai peringkat umur.

“Walaupun katanya tidak ada ke arah itu (lucah), pusing-pusing pun tetap berbaur yang tidak baik,” kata Haiza pada majlis Kenduri Rakyat sempena meraih anugerah Penyampai Radio Popular di Anugerah Bintang Popular ke-37 di Restoran Asam Pedas London baru-baru iini.

Haiza atau nama sebenarnya, Rohaizah Nordin, 46, yang popular dengan lagu dangdut Dag Dig Dug berharap Baby Shima lebih berhati-hati dalam pemilihan lirik lagu pada masa akan datang.

“Mungkin sesetengah orang, apabila keluar lagu, dia ingin diperkatakan. Mungkin Baby Shima kategori yang begitu.

“Dia memilih lagu dan lirik sebegitu. Itu terpulang kepadanya, tetapi sebagai orang yang lebih senior saya harap Baby Shima boleh cari lirik yang mendidik masyarakat,” ujar Haiza.

Tambah Haiza yang juga seorang penyampai radio Kool FM, lagu sedemikian sangat bertentangan dengan nilai budaya masyarakat tempatan.

“Lagu dangdut tidak sepatutnya ada ‘double meaning’ terutama kita di Malaysia. Jika di luar negara seperti Indonesia saya rasa perkara sebegini sudah biasa, tetapi tidak di Malaysia.

“Jangan normalisasikan perkara seperti ini. Saya ada terbaca kata-kata penulis lirik tersohor, Datuk Habsah Hassan, katanya buatlah lirik yang membina bukan merosakkan bangsa,” tutur Haiza lagi. – HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok