PERKONGSIAN pelakon Kamal Adli memaparkan detik pertemuan bersama puteri tunggalnya, Hawra Uqaira mencuri perhatian ramai hingga mengundang air mata netizen.
Kamal atau nama sebenarnya Ahmad Kamal Adli, 40, meluahkan perasaan rindu terhadap anak kesayangan menerusi sebuah video berdurasi hampir 40 saat, memaparkan hubungan ayah dan anak penuh kasih meskipun jarang bersua.
“Dia merajuk, tapi dia rindu.
“Dia jual mahal, tapi sebenarnya dia nak.
“Rindu sangat pada awak, Hawra,” tulisnya ringkas namun sarat emosi.
Video tersebut memperlihatkan keakraban antara Kamal dan Hawra, sekali gus menyentuh hati ramai yang mengikuti perkembangan kemelut rumah tangga pelakon berkenaan.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen meluahkan rasa simpati serta berharap hubungan ayah dan anak terus terpelihara walau apa pun dugaan melanda.
“Tak sanggup tengok ayah rindu anak macam ni. Semoga urusan Kamal dipermudahkan,” tulis seorang netizen.
“Anak tetap darah daging. Harap tiada siapa pisahkan kasih sayang ayah dan anak,” komen pengguna lain.
“Semoga ada jalan damai. Anak perlukan kedua-dua ibu dan ayah,” ujar seorang netizen.
Dalam masa sama, ramai turut menitipkan doa agar Kamal menemui titik penyelesaian terbaik demi kebahagiaan diri serta masa depan Hawra.
Sebelum ini, kemelut rumah tangga Kamal bersama isterinya, Uqasha Senrose terus menjadi perhatian umum sejak aktres itu memfailkan permohonan cerai pada 1 Oktober lalu.
Situasi berlanjutan apabila Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 18 Disember lalu menasihati Kamal supaya melafazkan cerai selepas Jawatankuasa Pendamai gagal mencapai persefahaman.
Bagaimanapun, peguam mewakili Uqasha, Muhammad Syazmee Sapian memaklumkan lafaz cerai tidak berlaku susulan Kamal masih berhasrat mempertahankan rumah tangga mereka.
Untuk rekod, Kamal dan Uqasha mendirikan rumah tangga pada 4 November 2021 dalam sebuah majlis tertutup di Janda Baik, Pahang.
Hasil perkahwinan tersebut, pasangan selebriti itu dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira, kini berusia 19 bulan. – HIBGLAM.
