‘Berat badan naik, watak hero hilang’ 

HAKIKAT hidup sebagai selebriti tidak pernah diberi ruang untuk alpa, dari hujung rambut hingga ke kaki, segalanya diperhati, dinilai dan dipersoal, malah setiap perubahan tubuh menjadi bualan, berat badan seolah-olah menentukan untung nasib seorang anak seni.

Di sebalik gemerlapan dunia hiburan, tersembunyi tekanan halus tetapi mencengkam. Industri menuntut kesempurnaan visual dan dalam realiti ini, menjaga fizikal bukan lagi pilihan, sebaliknya tuntutan tanpa kompromi.

Itulah realiti dilalui pelakon Shahz Jaszle, apabila tekanan menjaga penampilan sering menjadi penentu kelangsungan kerjaya.

Tanpa berselindung, Shahz mendedahkan bagaimana tubuh badan kini menjadi ‘pasport’ utama untuk terus kekal di radar penerbit tempatan.

Ujar pemilik nama sebenar Shahrizal Jaszle Jasmin itu, fizikal menjadi ukuran pertama sebelum soal lakonan dibincangkan dan situasi tersebut seringkali mengguris hatinya.

Untuk jadi pelakon di Malaysia, fizikal memang nombor satu. Waktu berat badan saya naik dahulu, soalan pertama bukan tentang jadual, tetapi sama ada saya gemuk atau kurus.

“Saya bercakap benar. Kebanyakan produksi tanya perkara sama. Sudah tentu saya terasa dan mula tertanya-tanya sama ada mereka mahukan saya kerana watak, rupa atau kebolehan lakonan,” katanya kepada HibGlam.

MEMANDANGKAN industri masih meletakkan fizikal sebagai kayu ukur, Shahz Jaszel perlu memastikan tubuhnya sentiasa fit dan tampak segar.

Mengulas perbezaan industri tempatan dan luar negara, bintang filem Lebuhraya Ke Neraka itu mengakui pelakon Malaysia berdepan tekanan lebih besar untuk sentiasa kelihatan fit dan menarik di hadapan kamera.

Katanya, ada juga produksi meminta gambar terkini semata-mata mahu menilai bentuk badan tanpa peduli kesediaan jadual.

“Ada minta gambar dahulu, tak tanya pun jadual. Lama-lama saya sedar, saya kena kurus.

Sebagai pelakon, kita kena terima realiti industri kita perlukan fizikal elok dan kurus. Di depan kamera, badan nampak lebih berisi, jadi kita kena jaga. Bukan untuk imej semata-mata, tetapi demi watak.

“Di Malaysia, jarang ada watak selekeh atau watak minta pelakon naik berat badan. Siapa nak tengok orang gemuk, kan?Berbeza dengan luar negara, mereka fokus karakter. Kalau watak perlukan badan besar, pelakon sanggup naik berat dan penonton terima,” ujarnya.

Berkongsi pengalaman peribadi, aktor berusia 37 tahun itu mengakui fasa fizikal kurang ideal memberi kesan besar terhadap aliran tawaran lakonan, biarpun hampir dua dekad berkelana dalam industri.

“Saya suka makan dan suka tidur. Berat badan memang cepat naik, cepat turun. Dalam tempoh itu, saya banyak kali disisihkan.

“Bila berat naik, watak hero hilang. Hero kedua pun susah. Tinggal watak abang-abang atau watak sokongan. Pengalaman itu benar-benar membuka mata saya,” tambahnya.

Namun, Shahz menegaskan tubuh terlalu berotot juga bukan jaminan rezeki mudah, malah boleh mengehadkan kepelbagaian watak.

“Kalau badan terlalu sado, susah cari gandingan sepadan. Tak semua pelakon bertubuh besar untuk nampak seimbang.

Bila terlalu sado, mudah terperangkap dengan watak stereotaip seperti gangster atau watak keras. Takkan badan sado tapi pegang watak kampung menangis, nampak janggal.

“Langkah terbaik, kekal fit. Kurus tapi tak nampak lesu. Kita tak perlu puaskan hati semua orang. Kita sendiri tahu bila fizikal berada pada tahap terbaik,” tutupnya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok