DALAM deretan filem komedi ringan dan naskhah seram dari Seberang, kemunculan Timur terasa seperti tamparan sedar buat penonton arus perdana.
Filem tersebut tidak menawarkan tawa kosong atau jenaka mudah hadam, sebaliknya mengajak khalayak menyelam jauh ke dasar emosi, konflik kemanusiaan serta harga sebuah kesetiaan.
Sebagai debut pengarahan Iko Uwais, figura aksi ikonik Nusantara, Timur tampil berani, kasar dan jujur, satu pertaruhan besar yang jarang dipilih pembikin filem tempatan.
Berinspirasikan peristiwa sebenar Operasi Pembebasan Sandera Mapenduma 1996 di Papua, Timur menganyam kisah persahabatan tiga jejaka desa Jayawijaya pada era 1990-an iaitu Timur, Sila dan Apolo.
Mereka membesar di bumi pergunungan sama, berkongsi impian dan tawa, sebelum takdir memisahkan haluan hidup.

DARIPADA bintang aksi ikonik, The Raid, debut pengarahan Iko Uwais dalam Timur selayaknya dipuji.
Timur dan Sila memilih jalan disiplin sebagai anggota tentera, manakala Apolo terjerumus ke lorong gelap perjuangan bersenjata.
Konflik memuncak apabila misi penyelamatan sandera menemukan mereka kembali, bukan sebagai sahabat, tetapi musuh di dua sisi senjata.
Di sinilah Timur membuktikan naskhah berkenaan bukan semata-mata filem tembak-menembak, sebaliknya drama jiwa tentang pertembungan prinsip, dendam dan cinta persahabatan.
Dari sudut pengarahan, Iko memperlihatkan visi artistik matang meskipun baru pertama kali duduk di kerusi pengarah.
Adegan aksi disusun kemas, brutal dan bernafas realisme, malah gaya tempur jarak dekat mengingatkan kepada legasi The Raid, namun diberi roh tersendiri melalui latar rimba Papua.
Koreografi Uwais Team terasa autentik, tidak berlebihan, seolah-olah penonton turut merangkak, berpeluh dan bertarung bersama watak di layar.
Kamera bergerak lincah, terutama sudut rendah ketika baku tembak, mencipta ketegangan berlapis.
Kekuatan bunyi pula menjadi nadi emosi, dentuman senjata, desir angin hutan dan skor muzik gubahan Aghi Narottama berpadu mencipta suasana imersif, meski sesekali terasa terlalu sarat emosi.
Lagu tema Nyanyian Timur dendangan Audy Uwais menambah lapisan sentimental, walaupun sedikit mengganggu momentum pada beberapa babak.
Dari segi lakonan, Iko tidak bersandar semata-mata pada keupayaan fizikal. Watak Timur dipersembahkan dengan jiwa rapuh, bergelut antara tugas negara dan luka persahabatan lama.

TIDAK hanya cerita tentang penyangak dan tembak menembak, Timur masih sebuah filem aksi berjiwa dan dengan visual penuh estetika.
Jimmy Kobogau sebagai Sila menjadi tulang belakang emosi, mempamerkan kesetiaan tanpa perlu dialog berlebihan.
Aufa Assagaf pula berjaya menghidupkan Apolo sebagai antagonis berlapis, bukan penjahat klise tetapi manusia dengan sejarah dan luka sendiri.
Barisan pelakon sokongan seperti Yasamin Jasem, Fanny Ghassani, Kiki Narendra, Andri Mashadi dan Stefan William tampil konsisten, walaupun beberapa watak terasa kurang dimanfaatkan.
Naskhah tulisan Titien Watimena bijak menyelitkan dialog tentang identiti nasional dan konflik Papua tanpa jatuh ke lubang khutbah politik.
Pun begitu, Timur tidak kebal daripada kelemahan. Struktur cerita mengikut acuan filem ketenteraan Hollywood seperti Black Hawk Down atau Lone Survivor, menjadikan perjalanan naratif agak mudah dijangka.
Transisi antara babak terasa meloncat, seperti ada kepingan cerita dipotong demi menjaga durasi. Di pertengahan filem, penggunaan ‘flashback’ berlebihan memperlahankan tempo, manakala perkembangan si antagonis masih mendatar.
Dari segi visual, keindahan alam Papua terakam indah, namun beberapa efek CGI ledakan kelihatan kurang halus.
Keseluruhan, Timur masih sebuah naskhah aksi Indonesia penuh ambisi, menghiburkan dan sarat emosi.
Biarun dibayangi plot seiras dan alur tidak sepenuhnya licin, Timur tetap berdiri sebagai hiburan berkualiti. – HIBGLAM
