Sudah-sudahlah Nubhan, Dr. Fie, berdamailah!

KEBIASAANNYA jika sudah bercerai dan talak juga selamat disahkan, sekali gus tiada lagi kontroversi mahupun drama berlanjutan memandangkan kedua-duanya move on dengan kehidupan masing-masing.

Situasi bagaimanapun berbeza dengan penyanyi Nubhan dan bekas isterinya, Dr. Afifah Hidayah yang masih lagi menjadi bualan ramai meskipun sudah sebulan menoktahkan perkahwinan dengan talak dua.

Pergaduhan kali ini bukan melibatkan anak-anak, sebaliknya turut mengheret ibu bapa Dr. Afifah atau mesra disapa Dr. Fie.

Semuanya bermula selepas doktor gigi itu mendakwa pemilik nama lengkap Ahmad Nubhan Ahamad membawa keluar barang miliknya dari rumah yang didiami ketika ini tanpa dimaklumkan lebih awal.

Lebih menyedihkan, kesemua barangan peribadi milik wanita terbabit ibaratnya dicampakkan sahaja di depan rumah ibu bapa dalam keadaan tidak terurus.

Dr. Fie berkata, tindakan dilakukan Nubhan jelas tidak berperikemanusiaan dan kejam terhadap bekas isteri yang menjaga anak-anak hasil perkahwinan mereka, apatah lagi, ketika itu dia berada di luar negara.

“Saya sekarang berada di luar negara dan tak boleh pulang sekarang. Habis diangkut barang-barang keluar dari rumah yang saya duduki sekarang dengan anak-anak tanpa maklumkan lebih awal.

Awak kejam Nubhan! Barang-barang saya dicampak di depan rumah ibu, sedih diperlaku sebegini. Dia pernah buat begitu dan bukan kali pertama, dia pernah buat saya macam ini. Telefon pembantu rumah juga dirampas.

“Barang-barang berharga siapa pegang? Duit dan barangan kemas saya di mana? Siapa benarkan barang-barang peribadi saya diusik orang? Kenapa barang saya saya dibuang, milik anak-anak pula?” tulisnya dalam platform Threads.

Dalam masa sama, Dr. Fie juga kembali mengungkit semua perkara yang diberitahu Nubhan kepada umum mengenai hadiah rumah dan kereta kepadanya yang disifatkan hanyalah dusta semata-mata.

Lebih menambah drama, dia turut bercerita bahawa perbuatan Nubhan menghantar semua pakaian ke rumah keluarga juga bukan pertama kali memandangkan hal sama pernah berlaku ketika awal perkahwinan mereka.

Dr. Fie atau nama sebenarnya Afifah Hidayah Ahmad Tawfek, 35, berkata, urusan kediaman lama yang sebelum ini menjadi rumah kelamin mereka dibincangkan bersama peguam, sekembali ke tanah air selepas Nubhan tidak membalas panggilan mahupun sebarang mesej daripada keluarganya.

Sepanjang proses perceraian tempoh hari dia tak minta pun kepada peguam saya soal kosongkan rumah. Alih-alih dia bertindak melulu dengan memanggil mover (syarikat perpindahan) waktu saya tiada di rumah. Permainan apakah ini?

“Dia seronok tengok kami merempatkah? Tidak mengapalah jika itu yang mampu memuaskan hatinya. Apa pun saya serahkan kepada peguam untuk uruskan perkara ini,” ujarnya lagi.

Boikot

Menerusi laman sosial, rata-rata netizen turut bersimpati dan naik berang dengan pendedahan Dr. Fie yang terkilan diperlakukan sedemikian rupa, masing-masing turut menyifatkan tindakan peserta Gegar Vaganza 12 (GV12) itu sebagai pengecut.

Ramai yang mula menjalankan gerakan memboikot penyanyi itu termasuk berharap Nubhan dikeluarkan daripada GV12.

Sehingga kini, Nubhan masih mendiamkan diri dan berkemungkinan sibuk memberi tumpuan kepada persembahannya pada minggu suku akhir pertandingan realiti itu.

Sudah masuk tahun baharu, diharapkan kemelut antara Nubhan dan bekas isteri tidak lagi menjadi mainan dalam media sosial.

Semoga kedua-dua mereka lebih matang dalam menguruskan permasalahan yang tercetus.

Buat Nubhan, Afifah pernah menjadi sebahagian daripada hidup anda selama sedekad, jadi berhati-hati dalam membuat sebarang tindakan.

Jagalah hati seorang ibu kepada anak-anak anda ataupun wanita yang pernah membahagiakan kehidupan anda.

Kepada Dr.Fie, jangan terlalu berkongsi mengenai privasi dalam media sosial kerana boleh mendatangkan implikasi yang lebih teruk kelak.

Diharapkan, mereka berdua mendapat kebahagian dengan cara tersendiri selain jangan mengikut emosi agar tidak nanti menjadi bahan tawa segelintir netizen yang bersorak mengikuti drama tanpa penamat itu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok