‘Orang fikir saya tidak relevan berlakon, mengacara, ditolak bulat-bulat’

LEBIH sedekad bergelar pelakon dan pengacara, Nadzmi Adhwa mendedahkan segelintir pihak menganggap dirinya tidak lagi relevan dalam industri seni.

Nadzmi atau nama lengkapnya Nadzmi Adhwa Nor Adzmi, 33, hal tersebut disedari selepas namanya kerap ditolak stesen televisyen dan syarikat produksi pada saat akhir.

“Ada yang cakap saya sudah tidak relevan berlakon atau mengacara. Nama pada saat akhir ditolak bulat-bulat,” katanya dalam hantaran di Threads.

Menerusi perkongsian sama, suami kepada penyanyi Ardell Aryana itu mengakui sudah mengikuti pelbagai kelas bagi meningkatkan kebolehannya.

“11 tahun dalam industri seni. Minat mendalam dalam bidang seni, ambil kelas berlakon dan macam-macam buat untuk belajar,” ujarnya.

Begitupun, dia melihat situasi dilalui membawa hikmah berbeza apabila penolakkan dalam bidang seni melorongkannya ke arah kerja kebajikan.

Masa yang ada juga membawa usahawan makanan siap itu ke lokasi bencana alam iaitu Aceh, Indonesia di bawah pertubuhan kelolaan isterinya, Aryana Care, baru-baru ini.

“Mungkin inilah hikmah kena tolak nama banyak kali oleh syarikat produksi dan stesen televisyen. Alhamdulillah, asbab ini boleh beri bantuan di Aceh,” ujarnya.

Terdahulu, beberapa minggu lalu Nadzmi bersama Ardell serta pasukan Aryana Care mengagihkan bantuan makanan serta air bersih kepada penduduk kampung di Aceh yang dilanda banjir lumpur.

Menerusi ruangan komen, netizen mendoakan agar Nadzmi jangan patah semangat, sebaliknya menyifatkan dirinya sebagai insan terpilih untuk berbuat amal kebajikan.

“Orang ‘reject’, tapi Allah tak ‘reject’ Nadzmi,” tulis seorang pengguna akaun media sosial. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok