Cetus fenomena, Papa Zola kaut RM43 juta di pawagam

PECUTAN bergaya, Papa Zola The Movie mencatat kutipan sebanyak RM43 juta dalam tempoh 18 hari tayangan mengukuhkan kedudukannya sebagai antara filem animasi tempatan paling berjaya dalam sejarah perfileman negara.

Pengarah dan Penulis Papa Zola The Movie merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Monsta, Nizam Abd Razak berkata, sambutan itu amat bermakna terutama dalam suasana cuti persekolahan selain dipacu pelbagai inisiatif dilakukan pempengaruh tempatan.

“Usaha seperti ‘belanja wayang’ oleh pempengaruh membuka peluang kepada lebih ramai keluarga serta komuniti terpilih menikmati filem ini, selari dengan semangat kebersamaan, keceriaan dan sokongan komuniti yang diketengahkan Papa Zola.

“Paling menyentuh hati kami, filem ini bukan sahaja ditonton ibu bapa dan anak-anak, malah datuk dan nenek turut dibawa ke pawagam.

“Inisiatif komuniti yang membantu lebih ramai keluarga merentas generasi menikmati filem ini sangat dekat dengan nilai yang cuba kami sampaikan,” katanya.

Antara pempengaruh yang menyokong gerakan ini seperti Ashhhrap, Xavier Naxa, Cikgu Marviza, Wawan Foodie, Miera Faera dan Bella Park.

Sementara itu, Penerbit Eksekutif Papa Zola The Movie merangkap Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad berkata, kejayaan itu membuktikan filem tempatan masih mampu memberi saingan hebat kepada karya antarabangsa.

“Walaupun pawagam kini dibanjiri filem baharu daripada francais popular Hollywood, filem tempatan tetap mendapat tempat di hati penonton.

“Terima kasih tidak terhingga kepada penonton, rakan media serta pihak pawagam yang memainkan peranan penting dalam menjayakan kejayaan ini,” ujarnya.

Papa Zola The Movie mengisahkan
seorang bapa yang bekerja keras menyara keluarga sebelum terpaksa kembali ke medan pertarungan apabila anaknya, Pipi diculik makhluk asing.

Dibantu Mama Zila, dia berdepan cabaran menyelamatkan Pipi selain melindungi dunia daripada ancaman tersebut.

Filem itu kini ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia, Singapura dan
Brunei sebelum ke pasaran antarabangsa bermula Januari 2026 di Indonesia serta India, Vietnam dan pasaran Timur Tengah termasuk Arab Saudi, UAE, Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar dan Turki pada April 2026. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok