‘Ambil wuduk, solat cara saya pulih mental, ‘recharge’ jiwa’

MUNGKIN pada pandangan umum, kehidupan selebriti nampak sentiasa bahagia, dipagari glamor, senyuman dan dihujani pujian.

Namun ‘keindahan’ itu tidak semanis disangka. Tekanan emosi, tuntutan kerja serta cabaran hidup tetap hadir tanpa memilih siapa.

Realiti itu turut dilalui pelakon Nadia Brian, figura jelita yang berani membuka cerita soal kesihatan mental tanpa berselindung.

Dalam kesibukan dunia seni yang bergerak serba pantas, aktres berusia 34 tahun itu memilih jalan menenangkan jiwa berbanding memendam rasa.

Baginya, menjaga keseimbangan emosi bukan semata-mata keperluan peribadi, malah satu bentuk tanggungjawab terhadap diri sendiri agar terus waras, positif dan kuat menghadapi hari mendatang.

Sedekad bergelar artis, anak jati Kangar, Perlis itu mengakui berdepan tekanan, lebih-lebih lagi ketika jadual kerja padat dan emosi diuji.

Enggan larut dalam amukan minda dan jiwa, dia menjadikan solat sebagai ruang perlindungan dan sumber kekuatan dalaman serta mencapai ketenangan.

NADIA menegaskan rasa stress tidak wajar dibiarkan berpanjangan hingga merosakkan diri.

Malah kata pemilik nama lengkap Nadia Najwa Mohamed Rashidi itu, ketenangan tidak semestinya hadir dalam bentuk besar, malah boleh bermula daripada perkara kecil seperti mengambil wuduk.

Solat cara saya memulihkan mental. Setiap kali menunaikan solat, rasa seperti ‘recharge’ semula jiwa dan fikiran. Saat beribadah, seolah-olah sedang ‘berdating’ dengan Allah lima kali sehari.

“Sebenarnya kalau rasa stres, ambil air wuduk pun sudah buat hati rasa lega. Ibu juga sering bertanya sama ada saya sudah solat atau belum. Sejak dahulu saya dididik tentang perkara itu,” katanya kepada HibGlam.

Selain kekuatan spiritual, bintang filem Duyung: Legenda Aurora itu tidak menafikan sokongan insan sekeliling banyak membantunya melalui fasa mencabar dalam hidup malah kehadiran keluarga serta rakan-rakan menjadi tonggak utama dalam memastikan emosinya kekal stabil.

“Saya banyak berkongsi dengan kawan-kawan, daripada rakan sekolah hingga universiti. Alhamdulillah, sampai sekarang kami masih berhubung.

Saya sangat bersyukur dikelilingi ‘support group’ yang banyak membantu. Mendekatkan diri dengan orang tersayang turut menyokong emosi dan spiritual saya,” luahnya.

Dalam nada penuh kesedaran, Nadia mengingatkan bahawa stres merupakan lumrah kehidupan, namun tidak wajar dibiarkan berpanjangan hingga merosakkan diri.

“Semua orang akan alami stres. Kita cuma perlu elakkan tekanan itu berlarutan sehingga menjadi depresi.

Setiap manusia ada dugaan dan titik terendah masing-masing, tetapi mengadu kepada Allah SWT merupakan jalan terbaik.

“Alhamdulillah, saya juga sibukkan diri dengan kerja, jadi tidak ada masalah besar sampai menjejaskan mental,” tutupnya.

Dalam perkembangan lain, Nadia antara selebriti terlibat sebagai tenaga pengajar dalam platform penstriman pendidikan, TV Tuisyen bersama barisan artis seperti Cristina Suzanne, Elisya Sandha, Adam Lee, Zara Zya, Syafi Tee, Juliana Evans dan Wanie Kayrie.

Inisiatif berkenaan bukan sahaja kelas tambahan maya tetapi sebuah revolusi pendidikan digital dirangka khas bagi memperkasakan pelajar Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5, sekali gus membantu merapatkan jurang pembelajaran dalam talian dengan pendekatan lebih segar dan inklusif. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok