‘Merangkak di Padang Mahsyar, kami hanya main ‘musical chairs”

PASANGAN selebriti Pekin Ibrahim dan Mona Allen menafikan dakwaan meraikan Krismas seperti video yang tular di media sosial, baru-baru ini.

Pekin atau nama sebenarnya, Mohd. Iznan Ibrahim, 44, berkata, acara dihadiri mereka merupakan sambutan ulang tahun kelahiran dua ahli keluarga terdekat yang kebetulan jatuh pada malam perayaan tersebut.

“Sebenarnya malam itu hanya perhimpunan biasa membabitkan kehadiran ahli keluarga untuk meraikan ulang tahun seorang saudara serta seorang lagi kenalan rapat.

“Macam biasa, kalau rumah famili kita santai-santai, pakai pun baju tidur sebab dah malam. Takkan pergi parti Krismas pakai baju tidur kan. Kami pula sampai ke rumah itu agak lambat, lepas itu tak sangka ada yang buat ‘live’.

“Kalau tengok video itu, antara aktiviti parti hari jadi berkenaan adalah permainan ‘musical chairs’. Tiada pun acara bertukar hadiah seperti diperkatakan,” katanya ketika dihubungi HibGlam.

Pengarah dan penulis skrip itu berkata, mereka juga mempunyai ramai saudara mara bukan Islam memandangkan dilahirkan dalam perkahwinan campur, namun setiap anggota keluarga saling menghormati kepercayaan masing-masing.

“Keluarga saya mempunyai campuran Cina, manakala isteri berdarah Melayu, Scotland dan Britain, sekali gus perkahwinan campur nenek moyang kami membawa kepelbagaian keunikan tradisi.

“Walaupun ahli keluarga kami meraikan perayaan mereka seperti Krismas, tidak bermakna kami tidak peka terhadap perkara seumpama ini,” katanya.

Pada masa sama, Pekin mengakui turut kesal apabila ada pihak menyebarkan gambar isterinya tanpa hijab yang menggandakan lagi salah faham ramai.

“Dalam keadaan tidak sedia dan keluar kereta sambil dukung anak memang serba kalut, tambahan pula tak tahu ada yang buat ‘live’. Selepas itu Mona terus pakai tudung.

“Memang dia terkhilaf tapi mereka yang sebarkan video tersebut sehingga mengundang fitnah juga membuat tindakan melampau.

“Dosa dengan Allah kita boleh minta ampun, bertaubat tetapi dosa dengan manusia jika tidak dimaafkan merangkak nanti di Padang Mahsyar.

“Janganlah terus jatuh hukum mengetahui keadaan sebenar. Saya pun sejujurnya tak mahu ulas hal ini, enggan disensasikan lagi,” ujarnya.

Sebelum ini nama Pekin dan Mona ‘panas’ selepas tersebar video kononnya mereka meraikan Hari Natal sambil bertukar hadiah mengikut amalan tradisi perayaan buat penganut agama Kristian itu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok