TERUS menjadi mangsa kecaman ramai, pelakon Uqasha Senrose membidas dakwaan individu yang menuduhnya menjana pendapatan dengan mencari publisiti daripada kisah peribadi untuk membeli kediaman baharu.
Tegas Uqasha, 33, dia menyangkal tuduhan tersebut selain memaklumkan kediaman yang baharu dibelinya adalah hasil kerja kerasnya.
“Ya Rabbi, diam dengan kumpul duit dan publisiti? Apa kena mengena dengan beli rumah? Nak tuduh pun pakailah otak serta akal yang Allah SWT beri kepada manusia untuk berfikir.
Sekurang-kurangnya saya beli rumah sendiri dengan duit dan tenaga yang Allah izinkan. Siapa awak nak pertikaikan keberkatan, nak buat kerja Allah?
“Saya cari tempat untuk besarkan anak, awak tiada timbang rasa dan saya mencuri duit orang ke? Kalau saya merentan, paling penting Allah ada dan tunjuk jalan,” katanya membalas dakwaan tersebut.
Tambah pemilik nama penuh Nik Zaris Uqasha Nik Sen itu, dia kini dalam usaha menjadi insan lebih baik selepas melalui pelbagai perkara dalam hidup.
“Setiap apa yang berlaku, ada hikmah.
Saya hanya manusia biasa, tidak terlepas daripada melakukan kesilapan.
“Dari situ saya belajar untuk menjadi manusia lebih baik, insya-Allah doa yang baik-baik,” jelasnya.
Semalam, Uqasha memuat naik perkongsian memaparkan dia berada di sebuah rumah kosong dipercayai baru dibelinya.
“Siapa boleh cadangkan hiasan dalam?
Bismillah, seminggu lagi nak jumpa tahun 2026. Terima kasih Allah, syukur dan ampuni segala kekhilafanku,” ujarnya dalam viseo tersebut.
Sehingga hari ini, nama Uqasha tidak pernah sepi dalam media sosial sejak dia memfailkan perceraian terhadap suaminya, Kamal Adli pada 1 Oktober lalu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan.
Menurutnya, perceraian tersebut difailkan atas alasan tiada persefahaman manakala Kamal juga masih enggan melafazkan talak terhadap Uqasha kerana masih mahu menyelamatkan rumah tangga.
Terdahulu, Uqasha dan Kamal mendirikan rumah tangga pada 4 November 2021 dalam majlis tertutup di Janda Baik, Pahang selepas lima bulan mengikat tali pertunangan.
Hasil perkahwinan tersebut, pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira, pada 27 April 2024. – HIBGLAM
