ANGGOTA kumpulan De Fam, Cik Manggis sanggup melabur besar dalam sukan fenomena, pickleball demi meningkatkan prestasi permainan.
Aktiviti yang diceburi pemilik nama sebenar Nurshazwani Shamsuddin, 36, sejak setahun lalu dilakukan memandangkan dia seorang yang gemar bersukan sejak dulu.
“Saya mula main pickleball sejak Oktober tahun lalu dan siap ambil jurulatih peribadi bermula Januari lalu.
“Daripada zaman sekolah lagi saya memang aktif bersukan, jadi memang tak boleh duduk diam.
“Tambahan pula bila bersukan sangat membantu daripada segi kesihatan dan kecergasan badan,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.
Pada masa sama, pelantun lagu Panas itu mengakui pelaburan yang dibuat untuk pickleball sangat berbaloi memandangkan sukan tersebut semakin popular dan menawarkan hadiah kemenangan yang lumayan bagi setiap pertandingan yang disertai.
“Saya memang habiskan duit yang agak banyak untuk sukan ini. Nak upah jurulatih bukan murah.
Tapi bagi saya satu pelaburan yang berbaloi sebab sekarang banyak pertandingan pickleball dianjurkan dan hadiah ditawarkan pun tinggi.
“Setakat ini saya sudah menang tempat pertama sebanyak enam kali untuk tahun ini,” ujarnya lagi semasa acara Selkirik Fans Social Tournament.
Pada majlis tersebut, Selkirk secara rasmi melancarkan aktivasi jenama pertamanya di negara ini, dengan kerjasama rakan pickleball tempatan terkemuka, DINKLAB.
Acara bersejarah ini bukan sahaja menandakan kemasukan rasmi Malaysia ke dalam keluarga global Selkirk, malah turut mempamerkan momentum pesat perkembangan sukan pickleball di seluruh negara.
Tumpuan utama acara ini adalah kepada pelancaran paddle Selkirk Boomstik Raw Carbon Asia Edition yang sangat dinantikan, yang serta-merta mencetuskan keterujaan dalam kalangan pemain yang ingin merasai inovasi terkini daripada Selkirk.
Para peserta turut disajikan dengan tiga permainan mini berintensiti tinggi, di samping Selkirk Fans Social Event dan Tournament yang penuh kemeriahan, menawarkan hadiah wang tunai serta peluang kepada juara untuk membawa pulang dua unit paddle Selkirk Boomstik Raw Carbon Asia Edition.
