Rumah tangga Isa Khan, Risteena kembali bergolak?

SPEKULASI keretakan rumah tangga pasangan pelakon, Isa Khan dan Risteena kembali hangat diperkatakan sehingga mencetuskan tanda tanya dalam kalangan peminat.

Isu mula tular apabila Isa atau nama lengkapnya Mohammad Fara Aidid Ali Dad Khan, 32, seolah-olah memberi bayangan dia kini melalui fasa kehidupan bersendirian.

“Sesungguhnya cinta manusia tiada yang kekal kecuali cinta pada yang kekal abadi.

Sudah takdir untuk jalan sendiri, cerita kita hanya sampai di sini,” tulisnya dalam TikTok.

Dalam video tersebut, pelakon drama Cinta Tanpa Henti itu dilihat berjalan sendirian dengan berlatarkan lagu, Sumpah Dan Cinta Matiku nyanyian kumpulan Nidji.

Berdasarkan pemerhatian, tiada lagi gambar mahupun video terkini Risteena menerusi Instagram dan TikToknya.

Kedua-dua mereka juga dilihat menyahikut antara satu sama lain dalam Instagram.

Usaha HibGlam mendapatkan respons Risteena atau nama lengkapnya Nur Risteena Munim Zainul Ilyas, 36, gagal apabila mesej tidak berjawab.

Ini bukan kali pertama perkahwinan mereka didakwa bergolak apabila tahun lalu, khabar angin sama pernah diperkatakan selepas mereka saling menyahikut dalam Instagram.

Bagaimanapun Risteena tampil menyelar dakwaan tersebut manakala suaminya memuat naik perkongsian ucapan rindu sekali gus melenyapkan spekulasi terbabit.

Isa dan Risteena mendirikan rumah tangga pada 12 Mac 2021 namun belum dikurniakan cahaya mata. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok