PENYANYI Farahdhiya meluahkan pelik apabila penggunaan kuali lama miliknya menjadi bahan perbualan sehingga mengundang komen sinis segelintir netizen dalam media sosial.
Ujar Farahdhiya atau nama sebenarnya Nur Farahdhiya Mohd. Amin, 41, dia tidak melihat sebarang isu besar menggunakan peralatan dapur lama selagi fungsinya masih baik dan memberi kepuasan ketika memasak.
“Apa salah kuali legenda ini sampai ada sibuk bertanya kenapa guna kuali buruk?
“Ada pula sindir, artis tapi pakai kuali buruk, tak ada duit ke nak beli kuali elok?” katanya dalam Threads.
Pelantun lagu Bertakhta Di Hati itu bagaimanapun menegaskan kuali lama dan murah lebih memberi ‘rasa’ tersendiri, terutama buat individu gemar memasak seperti dirinya.
“Saya memang suka masak guna kuali paling buruk dan paling murah sebab nikmatnya hanya orang yang betul-betul masuk dapur sahaja faham.
“Tak perlu risau pasal hidup saya. Saya okey, malah sangat bahagia dengan kuali-kuali buruk ini,” ujarnya.
Naib Juara Gegar Vaganza musim kedua (GV2) itu turut menyelitkan sindiran halus apabila mengaitkan isu berkenaan dengan status dirinya sebagai wanita bujang.
“Paling penting dapur saya berasap setiap hari walaupun saya bukan isteri sesiapa.
“Sekadar nak beritahu, saya rajin walaupun tak berlaki,” tegasnya.
Perkongsian itu pantas mencetuskan reaksi pelbagai daripada netizen, dengan rata-rata tampil mempertahankan Farahdhiya dan menyokong gaya hidup sederhana diamalkan penyanyi berkenaan.
“Kuali lama atau baharu tak tentukan bahagia seseorang. Asalkan hati tenang, itu paling mahal,” tulis seorang netizen.
“Ini baru realiti hidup, tak semua artis perlu tunjuk kemewahan. Kalau semua barang baru, itu maknanya jarang guna. Respek Farahdhiya,” komen seorang pengguna media sosial.
“Kuali legend memang lain rasanya, orang dapur sahaja faham,” tambah seorang pengikut.
Malah, ada juga netizen menyifatkan isu tersebut tidak wajar diperdebatkan kerana pilihan peribadi seseorang tidak seharusnya dijadikan bahan sindiran, apatah lagi sekadar soal kuali di dapur sendiri. – HIBGLAM.
