SEOLAH-OLAH sengaja menabur kebencian, pelakon Sweet Qismina mempersoalkan tindakan segelintir pengguna media sosial yang gemar meninggalkan komen tidak beradab, khususnya menerusi akaun tanpa identiti jelas.
Ujar Sweet atau nama sebenarnya Farhanna Qismina Supandi, 28, persoalan itu tercetus selepas melihat keberanian individu tertentu melontarkan kata-kata pedas di sebalik akaun berprofil kosong.
“Saya tertanya-tanya. Apa motif orang suka komen bukan-bukan tetapi gambar profil kosong, pengikut pun tiada?
Puas hati ke boleh cakap macam-macam sebab yakin orang tak kenal dia?
“Pernah ada trauma, dibuli atau rasa tersisih ke? Sebab cara bercakap itu mencerminkan isi hati,” katanya dalam Threads.
Tambah pelakon filem Babah itu, perkongsian tersebut bukan bertujuan menyindir mana-mana pihak, sebaliknya sekadar meluahkan pandangan peribadi terhadap budaya toksik di media sosial.
“Saya bukan nak sindir sesiapa. Cuma berkongsi pendapat tentang sikap sesetengah pengguna yang terlalu mudah melempar kata buruk.
Ada beza antara beri pendapat dan maki hamun. Tak boleh ke kalau salah ditegur elok-elok dan pihak ditegur pula terima dengan hati terbuka?” ujarnya.
Luahan isteri kepada pelakon Adam Lee itu mengundang pelbagai reaksi netizen yang rata-ratanya bersetuju dengan pandangan tersebut dan mengakui kewujudan akaun palsu sering menjadi punca suasana media sosial bertambah keruh.
“Betul, akaun kosong selalunya paling berani,” tulis seorang pengguna media sosial.
Media sosial sekarang makin kejam, empati makin hilang,” komen netizen lain.
“Kalau tak berani tunjuk identiti, jangan berani lukakan hati orang,” tambah seorang peminat. – HIBGLAM
