PELAKON Isyariana secara terbuka mengakui berhasrat dijodohkan dengan lelaki berakhlak dan bersifat mulia seperti Nabi Muhammad SAW, namun memilih untuk menyimpan impian itu jauh di sudut hati.
Ujar Isyariana atau nama penuhnya Isyariana Che Azmi, 35, jawapan tersebut sering berlegar dalam fikirannya setiap kali ditanya mengenai kriteria pasangan hidup tetapi tidak berani meluahkannya secara terbuka kerana sedar kekurangan diri.
“Sebenarnya bila orang tanya saya nak jodoh macam mana, dalam hati memang terlintas mahu pasangan yang berkeperibadian seperti Rasulullah SAW.
“Tapi saya tak pernah luahkan sebab sedar diri. Disebabkan itu juga, saya pilih untuk kekal single,” katanya dalam Threads.
Luahan jujur itu mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen, rata-ratanya memuji keikhlasan serta kematangan pelakon filem Misteri Fraser 1910 dalam menilai soal perhubungan.
“Tak salah berimpian tetapi semuanya perlu usaha, kalau sudah usaha dan berdoa, tak salah pun bercita-cita tinggi meskipun kita fikir terlalu mustahil untuk digapai,” tulis seorang netizen.
“Mengidamkan lelaki seperti Nabi itu tidak salah tetapi wujudkah lelaki sebegitu?. Tak salah pun ada impian tinggi, asalkan sedar diri dan usaha ke arah itu,” komen seorang pengguna media sosial.
“Single tapi tahu apa dicari, itu jauh lebih baik,” ujar seorang lagi netizen.
Terdahulu, Isyariana pernah mengakui takut untuk mendirikan rumah tangga berikutan pengalaman silam membesar dalam keluarga yang bercerai berai.
Trauma melihat perpisahan ibu bapa suatu ketika dahulu membuatkan pelakon itu lebih berhati-hati dan tidak mahu mengulangi kitaran luka sama dalam kehidupannya. – HIBGLAM
