PENYANYI JessC teruja apabila berpeluang untuk mendendangkan lagu diminatinya iaitu Dia bersama penyanyi asal, Fauziah Latiff pada konsert solonya di MegaStar Arena di sini, baru-baru ini.
JessC berkata, diberikan peluang untuk berduet dengan Fauziah yang dianggap sebagai penyanyi hebat adalah antara memori manis dalam kerjaya seninya.
“Saya adalah peminat Fauziah sejak kecil dan Dia merupakan antara lagu kegemaran saya. Sebelum ini pernah bawakan lagu itu pada konsert solo tetapi 10 tahun lalu.
“Namun, kali ini, saya sendiri menawarkan kepada Fauziah untuk menyanyikan lagu tersebut secara duet dan terharu sebab dia setuju.
“Memang satu penghormatan besar kerana dia tidak pernah menyanyikan lagu itu dengan penyanyi lain sebelum ini,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.
Dia jua merancang untuk meneruskan kerjasama dengan Fauziah dan mungkin bakal mengeluarkan lagu raya bersama.
Berkongsi tentang penganjuran konsert solonya, My Style dia yang juga atlet ping pong wakil negeri di Queensland, Australia turut mendedahkan cabaran terbesar harus dilakukan ialah menari sambil menyanyi yang memerlukan tahap stamina tinggi.
“Cabaran paling besar adalah tarian. Walaupun nampak mudah,sebenarnya memerlukan stamina yang sangat tinggi.
“Memang perlu buat persiapan rapi termasuk latihan fizikal seperti bermain ping pong empat jam sehari untuk pastikan tenaga berada di tahap yang sepatutnya.
“Saya sekarang dalam proses pemulihan sebenarnya selepas mengalami kecederaan dalam sukan ping pong pada Oktober lalu.
“Disebabkan itu, saya harus berhati-hati ketika menari. Namun, di penghujung konsert saya cuba memberikan yang terbaik terutama ketika membawakan lagu Sinaran,” katanya lagi.
Menerusi konsert sama, JessC mempersembahkan sebanyak 40 buah lagu yang terdiri daripada pelbagai bahasa termasuk Mandarin, Melayu, Inggeris, Jepun dan Kantonis. – HIBGLAM.
