‘Dia peminat setia saya, sedih bila tahu dia sakit’

BIDUANITA Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza akui terkesan dengan ujian yang menimpa seorang peminat setianya yang kini berada di unit rawatan tapi, Hospital Kuala Lumpur.

Menurut Siti atau nama lengkapnya Siti Nurhaliza Tarudin, 46, peminat yang dikenali sebagai Mohd Fadzil itu sentiasa berada di setiap acara membabitkan dirinya.

“Saya memang kenal dengan Fadzil, suami saya pun mengenali dia. Wajahnya selalu ada di setiap acara. Dia seorang peminat yang setia.

“Setiap kali saya nak ke luar negara dia akan datang di lapangan terbang. Bila balik dia akan sambut.

“Bila saya dapat tahu dia sakit dan berada di wad kecemasan sudah tentu saya sedih. Jadi saya ambil peluang untuk menziarahinya.

“Dia cuma ada dua beradik. Ketika itu cuma ada abang dan kakak iparnya. Ketika berjumpa, dia sudah tidak sedarkan diri kerana pembuluh darahnya pecah,” katanya ketika ditemui di sidang media Konsert Legacy 30 Tahun Siti Nurhaliza, di sini, hari ini.

Tambah penyanyi nombor satu negara itu lagi, sokongan peminat sangat besar ertinya bahkan kejayaan yang dikecapinya hari ini adalah kerana mereka.

“Peminat sebenarnya kekuatan bagi artis. Kalau tak ada sokongan peminat, kita mungkin tak sampai ke tahap ini, saya mungkin tak boleh kekal sampai sekarang.

“Jadi pengorbanan mereka sangat besar buat saya. Harap dengan kehadiran saya dapat sedikit sebanyak memberi semangat untuknya walaupun dia sudah tidak sedar tetapi mungkin dia boleh dengar.

“Saya mengharapkan doa semua pihak supaya ada keajaiban daripada Allah untuk dia,” jelasnya.

Terdahulu tular dalam media sosial perkongsian video lawatan berkenaan yang dimuat naik oleh kelab peminat Sitizoners dalam TikTok

Video itu menerima pelbagai reaksi positif daripada netizen yang rata-rata memuji keprihatinan serta keperibadian Siti sebagai anak seni berjiwa besar dan tidak pernah melupakan jasa peminat. – HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok