Tanpa busking, saya takkan berada di tahap sekarang – Kai Deva

MESKIPUN bergelar naib juara program realiti One In A Million (OIAM), penyanyi Kai Deva masih meneruskan aktiviti nyanyian jalanan atau busking demi menghargai perjalanan awal seninya.

Ujar Kai atau nama sebenarnya Firdaus Deva, 25, penglibatan dalam dunia busking adalah tunjang utama yang membentuk identitinya sehingga berjaya ke tahap hari ini.

“Mula-mula ramai juga yang cakap saya tak payahlah nak busking lagi. Saya berada dalam satu tahap (penyanyi) jadi mereka tidak mahu saya ‘downgrade’ diri.

“Tapi dunia busking ini adalah asal usul saya, tanpa busking saya tidak akan sampai ke tahap ini.

“Saya tidak pernah pergi kelas vokal, saya tidak pernah sertai menyanyi di mana-mana studio. Daripada busking saya terus beranikan diri masuk uji bakat OIAM, saya tak mahu lupa diri,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

Katanya lagi, alasan untuk teruskan aktiviti busking kerana mahu mengukuhkan namanya dalam industri selepas program OIAM.

“Ramai juga orang persoalkan kenapa saya mahu kembali semula menyanyi busking. Saya masih lagi ‘merangkak’ (awal) dalam industri.

“Buat masa sekarang mungkin ramai yang belum mengenali saya terutamanya masa saya menjadi penyanyi jemputan di konsert Judika pun orang tak tahu saya siapa.

“Daripada situ saya fikir mungkin ada kalanya saya boleh turun busking untuk promosikan lagu-lagu nyanyian saya. Saya tak pergi selalu juga nanti orang bosan,” ujarnya lagi.

Bagaimanapun, Kai memaklumkan aktiviti busking dilakukan secara berkala bagi melepaskan rindu kepada peminat di jalanan.

“Dalam sebulan ada dalam sekali saja saya busking. Itu pun saya datang sebab dah tak ada penyanyi nak busking.

“Ramai juga yang kata rindu nak dengar saya menyanyi busking maksudnya masih ada orang mencari saya.

“Daripada situ saya fikir mungkin bolehlah buat persembahan sebab orang dah tercari-cari,” tuturnya.

Sebelum menyertai OIAM, Kai merupakan vokalis kumpulan Genji Busker yang sering membuat persembahan jalanan di Bukit Bintang. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok