Tahun lepas seorang, kini dengan Ammar – Cik Epal

“TAHUN lepas saya seorang, cuma tahun ini pula dengan Ammar.”

Demikian respons usahawan juga pempengaruh terkenal, Cik Epal atau nama sebenarnya Nur Munirah Mahmood, 34, yang sekali lagi dilantik sebagai duta jenama tekstil terkenal, Jakel.

Jika tahun lalu dengan kes perceraian, dalam kempen kali kedua ini, Cik Epal hadir berseri-seri bergandingan bersama pembantu peribadinya, Ammar, yang dikaitkan dengannya dan dikatakan sedang melakukan persiapan ke fasa baharu.

“Terima kasih Jakel sudi ambil saya lagi jadi duta bagi tahun kedua. Tahun lepas saya seorang, cuma tahun ini pula dengan Ammar,” kata Cik Epal ketika ditemui pada majlis Meet And Greet di Jakel Melaka, semalam.

Ammar pula tidak ketinggalan berkongsi rasa teruja apabila diberikan peluang menggalas tanggungjawab sebagai duta.

“Sebelum ini saya hanya teman Cik Epal sahaja, apabila tahun ini diberi peluang untuk jadi duta. Alhamdulillah,” katanya ringkas.

Pada majlis itu, turut bersama adalah Kumpulan Senario juga kekal sebagai duta.

Majlis bertambah meriah apabila kumpulan terbabit tidak melepaskan peluang mengusik Cik Epal dan Ammar apabila Wahid secara spontan menyanyikan lirik popular, ‘dulu bujang, sekarang dah kahwin’, daripada lagu legenda Dulu Lain, Sekarang Lain nyanyian asal Allahyarham Tan Sri S.M. Salim.

“Tapi sebab belum kahwin, tak jadi lagu tu. Tunggu eh, tunggu eh,” kata Wahid yang membuatkan pasangan itu kelihatan tersipu-sipu.

Selain itu, pada majlis tersebut Senario yang, dibarisi Wahid, Saiful Apek, Yassin Yahya dan Lan Pet Pet turut menghiburkan tetamu dengan persembahan lagu Joget Toleh Menoleh.

Turut dinyanyikan secara spontan adalah lagu Cari Tapak, yang menjadi OST filem komedi popular Lagi-Lagi Senario (2001), sekuel kepada Senario The Movie dan Senario Lagi, arahan Aziz M. Osman. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok