Langgar SOP, suami Neera Azizi ‘digantung’ 6 bulan

DIKENAKAN tindakan tegas, suami kepada penyampai radio, Neera Azizi, Muhammad Hafizi Mohd Noor, digantung daripada tugas berikutan penularan video sambutan ‘gender reveal’ di hadapan Kaabah, baru-baru ini.

Pengurusan agensi umrah, In Saff Travel & Tours Sdn. Bhd., dalam satu kenyataab menjelaskan mereka memandang serius isu itu selain menjalankan siasatan menyeluruh sebelum mengerjakan tindakan tersebut.

“Hasil siasatan mendapati wujud pelanggaran terhadap etika dan Standard Operating Procedure (SOP) syarikat yang telah ditetapkan bagi setiap petugas.

“Susulan pelanggaran tersebut, pihak agensi mengambil tindakan tatatertib terhadap Hafizi.

“Pihak pengurusan mengambil keputusan untuk menggantung individu tersebut selama enam
bulan berkuat kuasa serta-merta,” tulis kenyataan berkenaan.

Dalam kenyataan sama, syarikat memaklumkan mutawif terbabit tidak dibenarkan terlibat dalam sebarang tugasan operasi atau membimbing jemaah ke tanah suci.

“Individu berkenaan turut dikenakan tindakan tatatertib dalaman termasuk pengeluaran surat amaran rasmi dan sebarang pertimbangan pelantikan semula hanya akan dibuat tertakluk kepada pematuhan penuh terhadap ketetapan serta garis panduan syarikat.

“Pihak In Saff Travel menegaskan sebarang perlakuan yang boleh menjejaskan kesucian ibadah di Tanah Suci, etika, serta imej syarikat tidak akan dikompromi sama sekali,” katanya.

Terdahulu, video pasangan itu mengumumkan jantina bayi mereka di hadapan Kaabah mencetuskan komen negatif netizen yang menyifatkan tindakan dibuat tidak menghormati tempat suci umat Islam.

Susulan kecaman, Neera memadam video tersebut di semua platform media sosial selain meminta maaf atas kekhilafan mereka. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok