DUNIA hiburan tanah air tidak pernah ketandusan ‘aset’ sensasi. Setiap minggu, pasti ada kisah mencetuskan api emosi, meniup bara perdebatan hingga marak ke lorong maya.
Kali ini, isunya bukan setakat hiburan murahan, malah menyentuh soal prinsip, perjuangan, keikhlasan serta topik sensitif yang cukup mudah membakar perasaan khalayak.
Isu boikot, solidariti Palestin dan integriti aktivis kembali dipersoalkan, lalu mencetuskan perdebatan tanpa noktah dalam media sosial, seolah-olah semua berlumba menjadi hakim moral.
Lebih pedas, perdebatan tidak hanya berhenti pada peranti di tangan, sebaliknya meleret kepada soal kejujuran perjuangan sejagat.
Netizen mula membedah setiap gerak geri, kenyataan lama, seolah-olah menunggu saat tergelincir untuk dilapah tanpa belas.

TINDAKAN Hazwani mempertahankan penggunaan iPhone 17 kerana menghargai hadiah orang kepadanya dan kualiti peranti tersebut disifatkan satu pendekatan tidak bijak serta memperlihatkan ego semata-mata.
Termometer dunia hiburan melonjak tinggi apabila pelakon, penyanyi juga aktivis kemanusiaan, Hazwani Helmi dilihat menggunakan telefon pintar edisi terkini jenama Apple ketika merakam video pada malam kemuncak Anugerah Bintang Popular ke-37.
Wanita berusia 28 tahun yang sinonim dengan perjuangan solidariti dan kemanusiaan Palestin tetapi tetap menggunakan produk dikaitkan dengan Israel dilihat bertentangan dengan naratif dibawa selama ini sekali gus mencetus amarah netizen.
Ada yang menyifatkan tindakannya sebagai munafik, malah dilabel palsu dan hipokrit tanpa kompromi.
Bertalu-talu dikecam, pemilik nama sebenar Nur Hazwani Afiqah Helmi tampil menjelaskan, telefon pintar digunakan bukan dibeli menggunakan wang sendiri, sebaliknya merupakan pemberian seseorang.
iPhone itu adalah pemberian orang dan saya tidak menyangka menjadi isu sebesar ini. Tujuan saya memakainya pada malam itu hanya untuk meraikan majlis,” katanya.
Jelasnya, faktor praktikal menjadi sebab utama peranti itu digunakan memandangkan keperluan kerjanya sebagai pencipta kandungan.
Kedua, telefon ini mempunyai ruang simpanan besar. Saya menyunting semua video sendiri, jadi memudahkan urusan memuat naik kandungan serta suntingan,” tuturnya.

SINIKAL, komen peminat yang tidak senang dengan penjelasasn Hazwani berhubung soal boikot vs iPhone.
Namun, api belum padam, tindakan pelakon drama Iqbal itu memuat naik hantaran seakan-akan berseloroh, termasuk menyanyi dengan lirik semberono, dilihat seperti memerli netizen. Perbuatan itu mencurah minyak ke dalam api kemarahan.
“Inilah penunggang agama yang sebenar. Pejuang tapi pakai iPhone paling latest. Kalau pun pemberian tetapi masih ada otak kan fikir untuk menolak,” kata netizen.
Cara dia perjelaskan keadaan ini menunjukkan betapa tingginya ego dia tentang isu tersebut, dia boleh pilih minta maaf dengan rendah hati tetapi dia pilih perli netizen,” komen pengguna media sosial.
Tidak tahan terus diasak, adik kepada Heliza Helmi itu akhirnya membuat permohonan maaf secara terbuka menerusi Threads.
Maafkan kami. Kami terima dengan hati lapang dan meraikan nasihat baik, insya-Allah. Doakan kami,” kongsinya.
Ironinya, di sebalik laungan boikot dan solidariti, masyarakat hari ini semakin gemar menghukum sebelum memahami. Dalam dunia penuh persepsi, tersalah langkah walau seinci, bersedialah untuk dibakar hidup-hidup di medan maya. – HIBGLAM
