TUAH ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu. Begitulah yang dapat digambarkan buat penyanyi Ernie Zakri apabila diangkat sebagai Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular ke-37 (ABP37) baru-baru ini.
Selain dinobatkan trofi utama, Ernie atau nama sebenarnya, Nur Ernie Shahirah Zakri, 33, turut dinobatkan sebagai Penyanyi Wanita Popular sekali gus menewaskan empat calon lain iaitu Aina Abdul, Amira Othman, Wany Hasrita dan Wani Kayrie.
Kemenangan berganda tersebut hadir sebagai satu kejutan besar buat Ernie, yang mengakui langsung tidak menjangka namanya diumumkan sebagai pemenang untuk mana-mana kategori tahun ini.
Ernie meluahkan rasa syukur yang mendalam dan mengakui bahawa segala kejayaan ini adalah hasil sokongan tidak berbelah bahagi peminat dari Malaysia dan Indonesia.
“Alhamdulillah, sangat gembira sebenarnya. Saya bersyukur dengan kehadiran peminat-peminat yang mengundi dan yang sentiasa mendoakan kejayaan saya.
“Sebenarnya anugerah ini memang untuk peminat, yang sangat-sangat nak saya sekurang-kurangnya merasa tersenarai calon Top 10,” katanya.
Dengan jumlah undian luar biasa sebanyak 124 juta, Ernie Zakri meraih gelaran tertinggi iaitu Bintang Paling Popular.
Kerja peminat
Ungkap penyanyi lagu Masing Masing itu lagi, sekiranya tiada peminat, mustahil dia mampu berjaya pada tahap sekarang.
“Saya takkan dapat pengiktirafan ini kalau peminat-peminat saya tidak mengundi. Jadi saya nak rakamkan penghargaan buat Ernienators (kelab peminat) kerana sudi berikan saya merasa anugerah ini.
“Alhamdulillah, ini antara pencapaian yang akan saya kenang sampai bila-bila,” katanya lagi.
Tahun 2025 turut menyaksikan deretan kejayaan besar buat Ernie Zakri. Selain momentum kukuh daripada Perjalanan, single hit Masing Masing berjaya meraih 3x Platinum di Malaysia dan Indonesia, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai salah satu vokalis paling berpengaruh di Malaysia.
Dengan vokal yang mantap, dedikasi tinggi dan personaliti yang dekat di hati peminat, kemenangan acara terbabit menambah lagi kekuatan jenama seni Ernie dalam industri muzik tempatan.
Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kim Lim, turut berbangga dengan pencapaian luar biasa yang Ernie.
“Kami di Universal Music Malaysia amat berbangga dan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Ernie Zakri atas kejayaan gemilang meraih anugerah Bintang Paling Popular dan Penyanyi Wanita Popular.
“Kemenangan berganda ini adalah pengiktirafan sewajarnya atas dedikasi, bakat vokal luar biasa serta hubungan erat dia dengan peminat yang sentiasa menyokong. Ini adalah satu pencapaian yang memberi inspirasi, bukan sahaja untuk Ernie, tetapi juga kepada seluruh industri muzik tempatan,” kata Kim Lim.
Terus pacu
Mengambil momentum dari kejayaan ini, Universal Music Malaysia komited untuk terus memacu kerjaya Ernie.
“Rancangan utama kami adalah untuk terus mengeksport karya-karyanya ke peringkat serantau, terutamanya di Asia Tenggara. Kami melihat potensi besar untuk muzik Ernie menembusi pasaran baharu, mengikut jejak kejayaan seperti lagu Masing Masing yang mendapat tempat di hati peminat Nusantara,” katanya lagi.
Sebagai kesinambungan kejayaannya di ABP, Ernie Zakri juga sedang bersiap sedia untuk acara terakhir sebelum melangkah ke tahun baru dengan Nostalgia NYE Concert yang bakal berlangsung di Le Meridien Petaling Jaya 31 Disember ini.
Ernie juga turut menderas adrenalin apabila memberi bayangan bakal hadir dengan sebuah single hari raya pada tahun hadapan, sekali gus menambah lagi keterujaan peminat terhadap projek-projek akan datang.
