Bakat diperkecil aktres senior, Ammar Titan jadikan pengajaran

PELAKON dan pelawak, Ammar Titan mengakui terkilan apabila berdepan respons sinis daripada seorang aktres senior ketika terserempak di sebuah pusat mencuci kereta di Kota Damansara, baru-baru ini.

Ujar Ammar atau nama sebenarnya Azizul Ammar Abu Hassan, 38, pertemuan spontan itu bermula dengan niat baik apabila dia menegur aktres berkenaan dan menyuarakan hasrat untuk bekerjasama dalam dunia lakonan namun dibalas dengan nada seolah-olah meragui keupayaannya sebagai pelakon.

“Kejadian berlaku ketika saya mencuci kereta. Sambil menunggu, saya ternampak seorang pelakon senior. Sebagai orang muda dalam industri, memang jadi kebiasaan saya menegur orang lebih berpengalaman.

“Saya cakap teringin nak berlakon dengan dia suatu hari nanti, tetapi respons diterima agak mengejutkan.

“Dia kata, ‘Betul ke? Takut awak tak boleh sabar sebab nak jadi pelakon kena tahan marah.’ Masa itu memang terkejut juga,” katanya.

Bagaimanapun, bintang filem Mencari Ramlee itu memilih untuk tidak menyimpan rasa kecil hati, sebaliknya menganggap kata-kata itu sebagai satu bentuk ujian buat dirinya sebagai anak seni.

“Mungkin cara penyampaian dia berbeza atau penerimaan saya ketika itu juga berbeza. Saya ambil sebagai satu ujian supaya jadi pelakon lebih kuat.

“Saya langsung tak terasa hati. Hari itu pula memang ‘me time’ saya, mood pun baik. Saya cuma mahu lalui hari tersebut dengan tenang,” luahnya.

Bekas peserta Muzikal Lawak Superstar 2025 itu turut menegaskan keterbukaannya untuk bekerjasama sekiranya diberi peluang pada masa hadapan.

“Kalau satu hari nanti ada rezeki digandingkan, saya tetap berbesar hati.

“Kata-kata itu pasti saya ingat, bukan untuk berdendam, tapi sebagai peringatan untuk jadi pelakon lebih baik,” jelasnya.

Terdahulu, perkongsian Ammar mengenai insiden tersebut mencuri perhatian ramai apabila rata-rata netizen memuji sikap profesionalnya selain menganggap pengalaman itu lumrah dalam perjalanan seorang anak seni mencari tapak dalam industri hiburan tanah air. – HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok